Tuesday 20 February 2018

ISU SKANDAL TANAH IJOK - SIAPA SEBENARNYA YANG ‘PANIK’?

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzahari Mat Dahlan menyelar sikap pemimpin pembangkang apabila berterusan mencari orang lain untuk dipersalahkan apabila berdepan kemelut yang menjerut sikap retorik mereka yang selama ini mendabik dada kononnya mereka adalah yang terbaik di kalangan yang terbaik.
Justeru, apabila Barisan Nasional dan UMNO dipetik sebagai ‘panik’ kononnya isu tanah di Ijok berjaya diselesaikan, ia sebenarnya tindakan cuba mengalih perhatian umum dan ia juga sebenarnya kenyataan yang dangkal yang tidak menjawab persoalan pokok yang lebih besar – mengapa tanah yang dirampas kerajaan negeri diserahkan kembali kepada syarikat bermasalah?
“Persoalan lain yang turut perlu dijawab, bagaimana kerajaan negeri boleh memberi kebenaran kepada dua syarikat bermasalah berkenaan melakukan transaksi jualan kepada syarikat ketiga dengan nilai RM1.18 bilion di sebalik kes berkenaan masih di Mahkamah Persekutuan?
“Fakta yang sudah diketahui ramai, dua kali kes tanah Ijok dibawa ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dan ia dimenangi Kerajaan Negeri, justeru apabila dua syarikat tadi membawanya ke Mahkamah Persekutuan pula, mengapa kerajaan negeri mengaku kalah dan membenarkan penyelesaian dibuat? Ini yang diragui…
“Memang benar, peneroka boleh menarik nafas lega melalui pampasan yang dijanjikan oleh dua syarikat terbabit tetapi dengan nilai RM1.18 bilion yang diterima selepas tanah dijual kepada syarikat ketiga, adakah adil nilai berkenaan kepada peneroka jika jumlah yang dikeluarkan hanya RM421 juta berbanding RM1.18 bilion yang diterima. Ke mana baki RM756 juta tadi?,” ujarnya yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor.
Justeru jelasnya, peneroka yang terlibat sepatutnya diberi pampasan mengikut harga semasa tanah berkenaan dan bukan nilai yang dibuat pada tahun 2000.
Malangnya di sini tambah beliau, BN dan UMNO Selangor dijadikan objek oleh pentadbiran negeri pimpinan Datuk Seri Azmin Ali untuk dipersalahkan setiap kali mereka berdepan isu dan kemelut.
“Oleh itu kita mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat apa sebenarnya yang berlaku di sebalik transaksi dan keputusan yang meragukan di atas.
“Hakikatnya, Kerajaan Negeri yang ditadbir BN pada tahun 1998 memberi tanah berkenaan kepada peneroka terlibat untuk dimajukan dan apabila berdepan situasi yang tidak dijangka seperti di atas termasuk ketika pentadbiran negeri bertukar tangan, ia seharusnya diselesaikan mengikut norma yang sepatutnya dan tidak meragukan”, katanya.
Oleh itu tegas beliau rakyat Selangor harus membuka mata dan menilai sebaik-baiknya kerana pada hakikatnya banyak lagi isu termasuk ketidakcekapan pentadbiran yang sedang berlaku di Pejabat MB Selangor ini.
“Inisiatif ‘Peduli Rakyat’ yang diumumkan juga hanya sekadar cantik di atas kertas dan pelaksanaannya begitu teruk.
“Percayalah, Kerajaan Negeri akan terus beretorik dan bermain dengan kata-kata bagi menampakkan semuanya baik dan tiada cacat cela di pihak mereka tetapi pada hakikatnya banyak dasar, polisi dan keputusan yang dibuat termasuk ‘Peduli Rakyat’ yang sebenarnya teruk di peringkat pelaksanaan,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment