Tuesday, 14 November 2017

ADAKAH DAP PARTI BERBILANG KAUM SEPERTI DICANANGKAN?


Seperti dilihat tanda-tanda DAP kini sedang berada dalam krisis kepimpinan memandangkan hampir 50 peratus perwakilannya mengambil keputusan untuk tidak hadir di dalam pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP yang diadakan baru-baru ini.
Dari jumlah peratusan kehadiran perwakilan yang sekadar melepasi korum kongres khas berkenaan merupakan satu sejarah hitam yang memalukan dan di luar jangkaan pemerhati-pemerhati politik.
Ketidakhadiran hampir 50 peratus perwakilan pada pemilihan CEC kali ini merupakan satu tamparan hebat di mana DAP selama ini merasa begitu selesa dengan sokongan kaum Cina dan yakin sokongan kaum Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak tidak akan berganjak.
Namun kehadiran jumlah perwakilan seramai hampir 54 peratus dari jumlah senarai asal jelas menunjukkan bahawa sedang berlaku episod kemerosotan sokongan serta mungkin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan yang diterajui oleh Dinasti Lim itu.
Pimpinan parti cauvinis berkenaan perlu menerima hakikat bahawa ketidakhadiran hampir 50 peratus perwakilan memberi satu isyarat, bahawa parti berkenaan sedang mengalami defisit sokongan dari kaum Cina terutamanya terhadap beberapa isu yang tidak menguntungkan mereka, termasuk bersekutu dengan PPBM yang diterajui oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.
Di kalangan 20 anggota CEC yang dipilih termasuk Dinasti Lim, kemenangan mereka tidak boleh dibangakan kerana mereka telah ditolak secara automatik oleh 46 peratus perwakilan yang tidak hadir malah kehadiran hampir 54 peratus perwakilan berkenaan juga sekadar memberikan sokongan pada kadar 70 peratus ke bawah.
Selain itu, hasil keputusan pemilihan semula kali kedua ini juga memperlihatkan bahawa DAP ternyata gagal untuk membuktikan bahawa parti mereka itu benar-benar sebagai sebuah parti untuk berbilang kaum dan agama sebagaimana di canangkan termasuk oleh rakan baru mereka Tun Dr Mahathir.
Kepimpinan DAP telah gagal secara total untuk membuktikan bahawa parti mereka itu adalah parti berbilang kaum sepertimana yang mereka selalu katakan. Ini amat jelas sekali apabila calon Melayu Islam ditolak dan tidak diberi tempat. DAP tidak dapat menafikan lagi hakikat bahawa kehadiran Melayu di dalam DAP tidak diiktiraf menerusi elemen pemilihan.
Pemilihan CEC yang terbaru ini juga secara tidak langsung membenarkan dakwaan bahawa kehadiran Melayu di dalam DAP tidak lebih hanya sekadar melukut ditepi gantang, dan adalah lebih baik jika Perlembagaan DAP dipinda supaya calon Melayu mereka tidak membuang masa bertanding diperingkat CEC kebangsaan pada masa hadapan.
Justeru, kami merasakan sudah sampai masanya ahli dan pemimpin Melayu yang berada di dalam DAP bermuhasabah diri tentang penglibatan mereka bersama parti berkenaan. Ibarat ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’. Hanya orang Melayu yang berjiwa hamba akan menyertai DAP untuk dijadikan hamba politik DAP.
Kami rasa pemimpin dan ahli Melayu DAP perlu menerima hakikat realitinya hari ini parti DAP bukanlah bumbung yang selamat untuk kaum Melayu dan Islam berteduh. Malah, ini telah didedahkan serta disahkan sendiri oleh seorang ahlinya Superman Hew yang strategi DAP ialah ‘Use the Malays to screw Malays’. Dengan kata mudah, sama ada menerima Melayu dalam DAP atau bersengkongkol dengan parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan, mereka hanya mempunyai satu matlamat, iaitu memusnahkan bangsa Melayu.
Konsep sama rata Malaysian Malaysia yang bertentangan dengan konsep kesaksamaan yang diamalkan oleh BN, sudah sekian lama menjadi roh perjuangan DAP tidak dapat dimatikan lagi dan dasar serta ideologi politik DAP itu jelas tidak akan menyebelahi bangsa Melayu, terutama agama Islam di negara ini pada masa akan datang.
Hakikatnya konsep sama rata Malaysian Malaysia hanyalah merupakan retorik politik DAP sahaja, tidak lebih daripada itu. Malah mereka sendiri tidak mengamalkan konsep kesama rataan dalam parti mereka sendiri, di mana dalam DAP kesama rataan kaum di peringkat barisan kepimpinan maupun di peringkat akar umbi tidak wujud. Kaum Cina yang kuat dalam DAP akan terus menguasai DAP.

No comments:

Post a Comment