Anak muda mentah, biadap dan keterlaluan hanya kerana politik |
Banyak pihak terutama masyarakat Bugis di Malaysia menyifatkan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Abdul Rahman seorang yang amat biadap dan bersikap keterlaluan.
Ini ekoran tindakan Syed Saddiq yang menyatakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ‘salah faham’ mengenai isu pernyataan Pengerusi PPBM terhadap keturunan Bugis melalui surat terbukanya.
Kami kurang pasti dari negeri mana dan salasilah usul Syed Saddiq, tetapi secara ringkas surat yang ditulis kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor biadap dan kurang hormat, terutamanya dengan nada yang seolah-olah mahu mengajar DYMM Sultan Selangor untuk memahami isu berkenaan.
Perkara ini amat asas dan mudah, di mana pendengar jelas boleh tahu di mana betul dan di mana salah.
Tiada gunanya Syed Saddiq cuba mempertahankan perkara yang salah, di mana secara nyata umum tahu, sehingga ke seluruh pelusuk Nusantara juga tahu, pernyataan itu ada mengaitkan dan merujuk kepada bangsa Bugis sebagai perompak dan lanun.
Lagi kami berpendapat, kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang.
Sekarang, sudah terlambat jika seolah-olah pernyataan itu hanya dirujuk kepada Perdana Menteri Malaysia sahaja, tetapi ianya telah menyinggung terutamanya mereka dari keturunan Bugis.
Sebagai seorang yang boleh dianggap waras dan berpendidikan, kami berharap agar Syed Saddiq dapat membezakan di antara perkara yang salah dan yang benar. Yang salah tetap salah, yang benar tetap benar.
Kami rakyat Malaysia yang menjunjung Rukun Negara amat berharap, pemimpin parti PPBM memberhentikan segala nada politik yang membawa kepada kebencian puak dan kaum, yang boleh mengundang perpecahan rakyat dan mengugat kestabilan negara.
Bagi kami perkara asas yang perlu didukung oleh setiap warganegara adalah prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara antaranya Perkara Kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’.
Kami melihat, tingkah laku Syed Saddiq terhadap DYMM Sultan Selangor ini, seolah-olah dengan bangganya memperlekehkan kenyataan DYMM Tuanku, keterlaluan dan biadap terutamanya kerana beliau menulis secara ‘terbuka’ kepada DYMM Sultan Selangor dan kandungannya disaji di ruang umum, dengan nada seolah-olah ingin mengajar DYMM Sultan Selangor yang dikatakan ‘tidak faham’ dengan cuba menegakkan benang yang basah.
Beliau juga mengambil kesempatan untuk memesongkan banyak perkara-perkara lain yang tiada langsung ada kaitan dengan kenyataan akhbar DYMM Sultan Selangor mengenai kemurkaan dan kekecewaan DYMM Tuanku mengenai pernyataan Tun Mahathir itu.
Justeru kami rakyat Malaysia yang menjunjung Rukun Negara berharap agar anak-anak muda Malaysia hari ini dapat mengambil pengajaran dan iktibar dari tingkah laku Syed Saddiq dalam isu ini dengan tidak mengulangi dan mencemari institusi Kesultanan di negara ini.
Kita perlu menjauhi perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang boleh memurkakan dan menderhakai Raja-Raja dan Sultan-Sultan di Malaysia.
Sebagai seorang rakyat Malaysia yang mendokong prinsip Rukun Negara, sebagai seorang ahli politik muda yang masih mentah yang berasal dan membesar di negeri Selangor, sebagai seorang yang sentiasa taat dan setia kepada Raja dan negara, kami menganggap surat terbuka dengan nada yang sedemikian oleh Syed Saddiq kepada Sultan kami, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan, adalah keterlaluan dan amat biadap. Raja dan rakyat berpisah tiada.
No comments:
Post a Comment