Pemimpin Pakatan Harapan pertama yang menyekat kebebasan akhbar di Kerajaan DAP Pulau Pinang. |
Pakatan Harapan diketuai DAP yang turut disertai oleh PKR sebelum berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor sentiasa mencanangkan merekalah pejuang demokrasi, merekalah pembela kebebasan bersuara dan memegang teguh kepada prinsip kebebasan media. Tetapi hakikatnya apa yang dilaungkan oleh parti-parti ini sebelum berkuasa hanyalah omong kosong. Ini terbukti setelah berkuasa Kerajaan PKR Selangor melarang pengedaran akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian di jabatan-jabatan di bawah kerajaan negeri. Begitu juga Kerajaan DAP Pulau Pinang yang melarang akhbar Utusan Malaysia.
Pemimpin Pakatan Harapan kedua yang menyekat kebebasan akhbar di Kerajaan PKR Selangor |
Sebenarnya, kami tidak terkejut dengan larangan tersebut kerana kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali begitu takut dengan apa yang didedahkan oleh kedua-dua akhbar itu khususnya Utusan Malaysia berhubung kepincangan kerajaan negeri.
Namun jauh daripada itu, ia memberi isyarat awal kepada rakyat, itulah sebenarnya sikap Pakatan Harapan jika mereka ditakdirkan memerintah negara ini. Mereka akan menyekat dan menghalang sesiapa sahaja termasuk media yang tidak menyebelahi pakatan itu.
Ternyata Azmin semakin takut dengan bayang-bayang sendiri. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) beliau melihat media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah ancaman kepada Pakatan Harapan. Ini bukanlah kerana akhbar itu melaporkan perkara tidak benar mengenai pentadbiran kerajaan negeri Selangor tetapi mereka bimbang memandangkan semakin banyak kelemahan pentadbirannya terdedah.
Logiknya, Azmin bagaikan masih berada dalam pemikiran tahun 90-an, satu zaman yang tidak mempunyai teknologi maklumat. Sekarang zaman teknologi maklumat, kalaupun Utusan Malaysia dan Berita Harian dihalang untuk memaparkan apa yang berlaku, rakyat atau penjawat awam kerajaan negeri Selangor masih boleh mendapat maklumat melalui platform lain seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian atas talian. Kami melihat Azmin semakin kelam kabut kerana dari semasa ke semasa kelemahan pentadbirannya didedahkan satu persatu oleh akhbar-akhbar itu. Malah dalam satu-satu isu Azmin dilihat terperangkap dengan tindakan sendiri.
Oleh itu, Azmin cuba menyekat penjawat-penjawat awam di bawah kerajaan negeri supaya tidak membaca kedua-dua akhbar tersebut - satu pendekatan yang dianggap jumud dan bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang dilaung-laungkan oleh pembangkang sebelum memerintah.
Kami berasa aneh dan hairan dengan kegelisahan Azmin terhadap kedua-dua akhbar itu. Kalau apa yang dilaporkan oleh media tersebut tidak benar ambil sahaja tindakan undang-undang, bukankah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan cukup popular dengan langkah seumpama itu seperti mana yang sering dilakukan oleh pemimpin-pemimpin DAP?
Lagipun sekarang bukan zaman 90-an, kalau mana-mana media melaporkan tidak betul mengenai sesuatu isu, rakyat termasuklah penjawat-penjawat awam boleh merujuk kepada laporan media-media lain. Kenapa kelam kabut tidak benarkan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dilanggan?
Kalau beginilah sikap Azmin, bagaimanakah penjawat-penjawat awam di bawah kerajaan negeri mahu mengetahui sesuatu isu berkaitan Selangor yang dibangkitkan oleh media? Patutlah selama ini banyak isu di negeri itu tidak mampu diselesaikan, rupa-rupanya Azmin tidak benarkan mereka membaca akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Bagaimanapun kami melihat isu ini bukan sekadar satu larangan tetapi jauh daripada itu ia sebenarnya satu ketakutan yang semakin menghantui Azmin. Melalui tindakan melarang langganan itu, Azmin berharap ia akan memberi mesej kepada rakyat kononnya akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian tidak boleh dipercayai. Tetapi Azmin tersilap langkah. Apa yang beliau lakukan membuktikan kebebasan yang selama ini dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan termasuklah dalam soal media hanyalah retorik politik dan realitnya mereka tidak akan melaksanakanya apabila memerintah negara ini.
Kami difahamkan melalui rakan-rakan dalam kedua-dua akhbar itu, apa yang Azmin lakukan tidak akan menjadi ‘kudis’ apatah lagi menghalang usaha mereka untuk terus memaparkan berita-berita mengenai Selangor khususnya berkaitan kerajaan negeri itu.
Azmin boleh berbangga kerana memiliki kuasa untuk menghalang pejabat-pejabat di bawah kerajaan negeri melanggan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, tetapi dari sudut lain rakyat melihat apa yang beliau lakukan hanya satu tindakan terdesak untuk menutup kelemahan kerajaan yang ditadbir.
Tetapi kami percaya, sebahagian besar penjawat awam di bawah kerajaan negeri Selangor tetap mengikuti laporan kedua-dua akhbar tersebut. Ini kerana mereka percaya melalui cara itu, ia akan dapat membantu mereka membaiki perkhidmatan kepada rakyat yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan PKR Selangor.
Apa pun kami yakin, sekatan yang dilakukan oleh beliau mengikut telunjuk parti perkauman DAP ke atas akhbar-akhbar Melayu tersebut tidak akan ke mana, sebaliknya hanya mendedahkan wajar sebenar pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan yang berjiwa hamba kepada DAP dalam soal kebebasan media. Azmin adalah adalah antara kelompok pemimpin pakatan itu yang menjadi hamba kepada DAP selain Mat Sabu yang ‘cakap tak serupa bikin’.
No comments:
Post a Comment