Wednesday, 8 November 2017

MAHATHIR SERBA ‘SEMPURNA’, ‘MAKSUM’ DAN ‘U-TURN’.


Penulis tidak pasti sama ada rakyat Malaysia kenal dengan gaya politik Mahathir atau tidak. Namun bagi sesiapa yang mengikuti perkembangan politik tanah air terutama yang hidup membesar di zamannya memerintah, mereka mudah membaca corak politiknya.
Politik Mahathir dahulu cukup terkenal bercorak autokratik. Bukan hanya pemimpin dari parti-parti pembangkang, malah Timbalan Menteri atau menteri kabinetnya juga ramai yang menjadi mangsa. Dia saja yang betul, orang lain semua salah. Kononnya dialah yang sempurna…
Mahathir dahulu ‘keras’ keputusannya. A yang dikata, maka A yang dia mahukan. B yang dia arahkan, maka B yang dia mahu hasilnya. Siapa yang membantah, mempersoal atau buat pusingan U, pasti ‘nahas’. Teruk dia ‘kerjakan’…
Politik Mahathir ketika itu serba sempurna. Siapa yang tidak sebulu dengannya di dalam parti, maka dia akan dianggap sebagai ‘pengkhianat’. Alasannya, si polan itu tidak setia pada Presiden dan UMNO. Cuba selidik sendiri berapa ramai yang dia pernah ‘kerjakan’.
Namun sejak dia mencecah usia 90 ke atas, nampaknya corak politiknya serba tidak ketahuan hala. Dia boleh buat ‘u-turn’ pada bila-bila masa yang dia suka. Walau pernah menuduh orang itu berzina dan meliwat, namun kini orang itu ‘sesusi-suci’ manusia?
Dia kini sanggup sebut apa saja asalkan mengikut selera nafsu serakah politiknya. Jika sebelum ini berpuluh-puluh tahun menghina DAP sebagai sebuah parti yang rasis dan ‘chauvinis ultra kiasu’, namun kini DAP sebenarnya ‘lebih suci’ dari UMNO yang dia pimpin lebih dua dekad yang lalu.
Siapa saja yang dulunya dilihat sebagai ‘jijik’ dan perosak negara, maka kini dilihat sebagai ‘pahlawan’ yang akan bersamanya ‘menyelamatkan negara’. Dia sanggup sebut apa saja kepada bekas musuh-musuhnya itu bagi memastikan mereka menerima dia seadanya.
Itu pandangan Mahathir? Soalnya, apakah dia fikir puak-puak pembangkang itu senyum padanya, tanpa menyimpan sesuatu di sebalik ‘senyuman’ tersebut? Dia fikir mereka lupa sepertinya? Dia fikir DAP, PKR dan PAN menghidap ‘alzhiemer‘ sepertinya?
Mungkin dia langsung tidak terfikir bagaimana ketiga-tiga parti itu sedang menjadikan dirinya sebagai ‘pekakas lama’? Tidakkah terlintas di fikirannya bagaimana DAP, PKR dan PAN kini ‘menunggang’ dirinya sebagai ‘kuda tua’? Sedarkah dia tentang kedudukannya yang sebenar?
Dia fikir, dengan meletakkan dirinya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, maka ketiga-tiga parti pembangkang itu akan ‘tunduk’ dan terima menurut apa saja yang dia mahu seperti ketika dia di dalam BN dulu? Tidakkah dia sedar tentang pentas ‘opera Cina’ dan dia hanyalah ‘boneka usang’ yang dipergunakan selagi boleh?
Namun justifikasinya mungkin adalah demi kepentingan dan masa depan anaknya. Mungkin kerana menyedari anaknya ‘tidak boleh cari makan’ menempatkan diri dalam UMNO, maka dia terpaksa menggunakan altenatif lain. Sampai sanggup menggadai maruah sendiri?
Biar terpaksa menelan kahak sendiri, demi survival politik anak yang tidak mampu berdikari, dia cuba membantu semampu boleh. Mungkin kini baru dia sedar bahawa tanpa ‘bin Mahathir’, anaknya itu tak mungkin dapat berdikari, berdiri di atas kaki sendiri.
Yang terkini, siapa yang tidak senada dengan apa yang terbit mulutnya, pihak berkenaan akan dianggap sebagai ‘pemakan dedak’. Siapa saja yang menyebelahi Dato’ Seri Najib Tun Razak, maka dia akan hina orang itu semahu-mahunya. Siapa yang ikut Mahathir saja yang akan dianggap ‘suci’ dan ‘makan nasi’?
Mungkin itu gaya politiknya yang tidak dapat dia ubah, sentiasa betul dan benar-benar belaka. Cuba bayangkan jika Mahathir kini tiba-tiba buat pusingan U sekali lagi dan menyebelahi Najib, maka siaplah Pakatan Harapan!
Jika Mahathir buat ‘u-turn’ menyokong Najib, penulis yakin bahawa DAP, PKR dan PAN semuanya akan dianggap sebagai ‘setan-setan’ yang sesat lagi menyesatkan. Silap-silap, bagaikan Tuhan, mungkin dia boleh tentukan yang mana masuk syurga dan yang siapa masuk neraka.
Sekiranya Mahathir buat ‘u-turn’, maka penulis yakin dia akan sebut kononnya Najiblah Perdana Menteri yang paling sempurna dan hebat dalam dunia. Puji-pujian yang elok saja untuk Najib biarpun Najib sendiri mengakui dirinya tidak sempurna, hanya manusia biasa.
Namun begitulah Mahathir di pandangan mata penulis. Politik bagaikan ‘hidup mati’nya. Politik bagaikan ‘Tuhan’ baginya. Tanpa politik, mungkin dia tidak dapat hidup, hilang nyawa. Berjuang atas nama ‘rakyat’? Budak ‘kanyaq’ bolehlah dia temberang….

No comments:

Post a Comment