Sunday 19 November 2017

USAHA AZMIN TUTUP KEBENARAN ?

Sebenarnya tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melarang jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri Selangor melanggan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian tidak akan menjadi ‘kudis’ kepada perjuangan kedua-dua akhbar tersebut, sebaliknya menunjukkan beliau semakin tidak selesa dan berasa tidak selamat berhubung laporan media berkenaan.

Azmin amat memahami laporan kedua-dua akhbar itu boleh memberi ancaman kepada kedudukan beliau, PKR dan Pakatan Harapan, oleh itu beliau membuat dakyah menuduh kedua-dua akhbar tersebut menyebarkan fitnah.

Sebenarnya Azmin bukan sahaja takut kepada bayang-bayang sebaliknya sudah kehilangan keyakinan diri untuk menjawab laporan-laporan yang dibuat oleh Utusan Malaysia. Justeru cara terbaik ia melakukan ‘pembunuhan karakter’ dengan menuduh Utusan Malaysia menyebarkan fitnah.

Harapan Azmin melalui fitnah beliau, rakyat Selangor termasuk kakitangan kerajaan negeri tidak mengetahui kebenaran disebalik sesuatu isu melibatkan Pakatan Harapan.

Berhubung tomahan Azmin bahawa Utusan Malaysia menyebar fitnah, kami ingin bertanya adakah akhbar tersebut benar-benar menyebar fitnah atau Azmin sendiri takut fitnah beliau terhadap kerajaan BN diketahui rakyat?

Sebagai contohnya, Azmin melalui twitternya berhubung isu lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menulis, “Sesungguh mengejutkan Najib mahu ‘mengukuhkan’ ekonomi terbesar dunia dengan RM100 bilion wang Malaysia. Tiada peluang bergambar bernilai sebanyak ini.”

Bagaimanapun, tulisan beliau dijawab oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan Menteri Besar Selangor itu cetek ilmu pelaburan dan menasihatkan pemimpin pembangkang supaya mengamalkan politik berasaskan idea dan intelek, bukannya mengejar populariti sehingga kelihatan bodoh dan kebudak-budakan dengan retorik dan kebencian.

Dan kita juga tidak harus melupakan bagaimana Azmin juga melakukan fitnah apabila satu ketika dahulu menyebar dakyah kononnya ada seorang menteri kanan akan meletakkan jawatan. Fitnah yang beliau lakukan telah menimbulkan ‘kekecohan’ khususnya dalam laman sosial sehingga Perdana Menteri membuat kenyataan meminta Azmin menyatakan siapa menteri berkenaan kerana beliau tidak menerima apa-apa surat perletakan jawatan.

Tetapi seperti biasa Azmin dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain akan mengamalkan sikap ‘pekak badak’ apabila kebenaran terserlah. Sampai ke hari ini, Azmin tidak menyatakan siapa menteri itu.

Namun begitu kami percaya yang lebih membimbangkan Azmin ialah pendedahan demi pendedahan Utusan Malaysia mengenai kepincangan yang berlaku dalam Pakatan Harapan  termasuklah pertembungan antara pemimpin-pemimpin dalam PKR serta krsisi dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Sebagai Naib Presiden Pakatan Harapan, Azmin sudah tentulah tidak mahu rakyat mengetahui betapa buruknya pakatan itu yang kerjasamanya diwujudkan semata-mata kerana gila kuasa.

Malah Azmin juga tidak mahu rakyat mengetahui DAP lah yang berkuasa dalam Pakatan Harapan dan DAP lah yang berkuasa disebalik pentadbiran kerajaan negeri Selangor, bukanya Menteri Besar (Melayu) seperti mana yang didedahkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Azmin bimbang kalau rakyat khususnya orang Melayu tahu beliau merupa proksi kepada kuasa DAP di Selangor atau hamba DAP, mereka boleh bayangkan apa akan berlaku kepada bangsa Melayu dan negara ini jikalau Pakatan Harapan menang dalam PRU-14 nanti.

Sebagai contoh baru-baru ini sebagai seorang Islam Azmin meresetui ‘Pesta Minum Arak’ yang didalangi DAP. Dan juga di dalam DUN Selangor, baru-baru ini kerajaan pimpinan beliau telah menolak usul bagi mebahaskan isu ‘Memperkasakan Mahkamah Syariah’ di negeri Selangor. Semua ini dipercayai didalangi DAP, dan Azmin terpaksa akur serta mematuhinya demi kepentingan dirinya sendiri untuk terus berkuasa walaupun terpaksa menjadi alat DAP.

Sebenarnya banyak lagi isu di bawah pentadbiran Azmin yang merugikan masyarakat Melayu Islam di negeri Selangor. Selain isu-isu di atas yang terpentingnya ialah isu yang menjejaskan ekonomi orang Melayu seperti pemindahan tanah risab Melayu kepada bukan Melayu di Sekincan, penindasan terhadap nelayan Melayu di bawah bantuan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkaitan sewaan pengunaan jetty pendaratan ikan dan merobohkan gerai peniaga-peniaga Melayu di kawasan Ampang.

Tidak payahlah Azmin mahu menganggap apa yang dikatakan ini sebagai satu fitnah kerana kalau dikaji corak pentadbiran beliau di Selangor dalam pendirian Pakatan Harapan, semua orang tahu siapa ‘taiko’, siapa ‘pak turut’ dan siapa ‘hamba’ DAP.

Selain itu, Azmin juga bimbang melalui laporan politik Utusan Malaysia, rakyat akan mengetahui bagaimana berlaku pertembungan antara pemimpin dalam PKR khususnya melibatkan beliau dengan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli serta bagaimana hubungan dengan Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail.

Turut menjadi kebimbangan Azmin, rakyat mengetahui kedudukan sebenar kemelut dalam PPBM sebuah parti yang diplih oleh bekas bos beliau iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui laporan Utusan Malaysia.

Sebagai seorang pemimpin kanan Pakatan Harapan yang memegang jawatan naib presiden, Azmin begitu bangga apabila Dr. Mahathir bersama pakatan tersebut tetapi kini bekas Perdana Menteri itu mula menjadi liabiliti kepada mereka.

Itulah antara perkara-perkara yang ditakuti oleh Azmin sehingga beliau cuba melakukan fitnah dengan menuduh Utusan Malaysia menyebarkan fitnah. Tetapi Azmin sengaja melupakan bahawa sekarang merupakan zaman teknologi maklumat. Segala maklumat kini di hujung jari dan kalau benar sesuatu berita itu adalah fitnah, tindakan undang-undang boleh diambil, seperti mana ia merupakan ‘hobi’ pembangkang selama ini.

Azmin sepatutnya berjiwa besar seperti mana pemimpin-pemimpin BN yang berhadapan dengan serangan media-media propembangkang termasuklah daripada portal-portal berita.

Setiap berita atau laporan akan diteliti dan dijawab secara berhemah, bukannya dengan ‘mengharamkan’ mana-mana media. Oleh itu, larangan Azmin ke atas Utusan Malaysia dan Berita Harian bukan kerana soal penyebaran fitnah tetapi merupakan usaha beliau untuk menutup kebenaran. Kerana kebenaran adalah pahit untuk diterima oleh pembangkang. Itu sahaja yang dapat dilihat.


No comments:

Post a Comment