Tuesday, 27 November 2018

ANGGOTA BOMBA DISERANG DI KUIL BERTARUNG NYAWA DI ICU.

27 NOV: Anggota bomba yang menjadi mangsa serangan perusuh di tapak kuil Sri Mariamman Seafields, kini berada dalam keadaan kritikal dengan diletakkan sistem pernafasan sokongan di Pusat Perubatan Subang Jaya.
Mangsa Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, telah berkhidmat selama tiga tahun bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dan sedang bertarung nyawa dan hanya bergantung kepada sistem sokongan hayat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun kenyataan awal beliau menganggap kecederaan yang dialami Muhammad Adib tidak terlampau berat tetapi lawatannya membicarakan yang sebaliknya.
“Apabila saya menziarahi beliau di hospital (SJMC) dan mendapatkan laporan doktor, mangsa berada dalam keadaan kritikal di dalam Unit Pemantauan Rapi (ICU) dan disokong bantuan pernafasan.
“Dia cedera teruk di bahagian dada dan perut berdasarkan kesan lebam yang teruk dan tulang rusuk patah dan menjejaskan paru-paru menyukarkan bernafas sehingga kini berdepan kesukaran bernafas,” katanya dengan suara sedih dalam sidang media khas di lobi pusat perubatan itu.
Tambahnya, pihak hospital beserta pakar perubatan mengambil tanggungjawab memantau keadaan dan merawat Muhammad Adib secara rapi dan difahamkan tekanan darah dan bacaannya berada pada tahap rendah tetapi tidak menunjukkan petanda turun naik dan dipantau sepanjang masa.
Beliau juga merayu rakyat supaya mengambil iktibar supaya tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri.
Zuraida dengan suara sedih membidas tindakan perusuh yang tidak bertamadun dan sanggup menyerang seorang anggota beruniform yang datang dengan niat baik bersama jentera bomba untuk menjalankan tugas.
“Saya tak dapat terima hakikat trak bomba dan van perubatan bomba diserang mereka. Rakaman video insiden itu sudah ada dan harap polis bertindak tegas ke atas mereka.
“Saya mahu ia jadi pengajaran kepada mereka yang lain di luar tidak mengambil undang undang di tangan mereka.
“Saya jumpa ibu bapa mereka yang datang dari sebuah kampung sawah padi, Kedah beserta adik beradik dan juga tunang ada di sisi Adib.
“Mari kita doakan terbaik untuk Adib…dia baru berusia 24 tahun dan sepatutnya bertunang akhir Disember ini,” keluh beliau.
“Inilah kali pertama dalam sejarah anggota bomba terjejas teruk dalam insiden, saya berharap dalang sebenar di sebalik rusuhan itu ditangkap dan dihadapkan ke muka pengadilan.
Malah saya juga memberi jaminan secara peribadi menanggung segala kos perubatan mangsa di SJMC sehingga kembali pulih sedia kala,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengumumkan kerajaan negeri akan menanggung semua kos rawatan anggota bomba, Muhammad Adib Muhammad Kasim yang cedera ketika bertugas memadamkan kebakaran di kawasan rusuhan semalam.
“Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menanggung semua kos rawatan saudara Muhammad Adib. Sama-samalah kita mendoakan agar beliau dikurniakan kesembuhan segera.
“Keutamaan saya buat masa ini ialah untuk mengembalikan ketenteraman awam dan memastikan keadaan kembali pulih seperti sediakala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

No comments:

Post a Comment