Monday 5 November 2018

HIMPUNAN PERPADUAN UMMAH SASAR 30 RIBU KEHADIRAN


5 NOV: UMNO dan PAS kawasan Pasir Salak akan menganjurkan satu himpunan yang dinamakan ‘Perhimpunan Perpaduan Ummah’ pada 17 November ini di Pekan Kampung Gajah, Pasir Salak.
Menurut ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, perhimpunan tersebut dianjurkan bertujuan untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini di dalam menghadapi cubaan pihak tertentu yang cuba menggugat kedudukannya.
“Kita nak menyatukan umat Islam dan orang Melayu supaya kita dapat mengukuhkan perpaduan dan menghadapi cabaran daripada pihak luar dan dalam yang mengganggu gugat agama Islam dan umat Melayu.
“Saya bagi pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan seramai mungkin umat Islam tak kira apa fahaman politik, tak kira kaum umat Islam, atas nama untuk memperjuangkan kesucian agama Islam dan juga hak istimewa umat Melayu dan pribumi.
“Saya menyeru kepada semua supaya memberikan sokongan yang sehebat-hebatnya, datang beramai-ramai tak kira dari bandar atau kampung bagi menunjukkan kesatuan dan perpaduan kita,” katanya kepada BNPPortal.com, Isnin.
Tambah Tajuddin yang juga ahli Parlimen Pasir Salak, pihak penganjur menyasarkan kehadiran di antara 20 ribu hingga 30 ribu pada hari tersebut.
Tumpuan utama pada majlis itu nanti katanya adalah ucapan daripada dua orang Presiden parti yang mewakili sekurang-kurangnya lima juta ahli umat Islam dan Melayu sekiranya dicampurkan.
Dua orang tersebut adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Penceramah utama ialah Presiden UMNO dan Presiden PAS. Selain daripada itu ada tokoh daripada Perak iaitu Datuk Shahrani Pengerusi UMNO Perak dan juga Pesuruhjaya PAS negeri Perak.
“Kedua-dua Presiden ini mewakili tidak kurang daripada lima juta umat Melayu dan Islam. UMNO sahaja ada 3.7 juta ahli. PAS pula ada lebih sejuta ahli. Jadi kedua-dua pihak ini kita mempunyai kekuatan ummah tidak kurang daripada 5 juta,” katanya.
Perhimpunan Perpaduan Ummah itu dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam, 17 November 2018 iaitu hari Sabtu di Pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak. 

No comments:

Post a Comment