Thursday, 8 November 2018

SKIM FUND MY HOME BANTU RAKYAT ATAU PEMAJU?

8 NOV: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini melontarkan lima persoalan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai program FundMyHome.
Dalam hantaran terbaharu di Facebook, Najib mempersoalkan sama ada skim berkenaan ingin membantu rakyat atau pemaju.
Najib menimbulkan persoalan tersebut berikutan promosi skim FundMyHome menyatakan pembeli hanya membayar 20 peratus harga rumah kemudian tidak perlu membayar apa-apa untuk tempoh lima tahun dan baki 80 peratus dibayar peminjam dana atau pelabur atau institusi kewangan.

Kata Najib, mengikut laporan, ‘deposit’ atau bayaran pendahuluan 20 peratus yang dibayar oleh peminjam akan diletakkan dalam satu akaun amanah (trust account) dan akan diguna untuk bayar sebagai pulangan pelaburan lima peratus setiap tahun kepada peminjam dana, pelabur, institusi kewangan selama lima tahun.
“Saya rasa Menteri Kewangan perlu tanya diri. Jika pembeli rumah mampu membayar 20 peratus ‘deposit’, mengapa pembeli rumah tersebut tidak dapat membeli rumah selama ini dan tidak mendapat pinjaman daripada bank?
“Mengapa pelabur/peminjam dana masih berkongsi keuntungan dengan pembeli rumah jika pembeli berhasrat menjual selepas lima tahun? Sedangkan sepanjang lima tahun tersebut, pelabur/peminjam dana telah menerima pulangan pelaburan lima peratus setiap tahun selama 5 tahun daripada “deposit” 20 peratus yang dibayar oleh pembeli.” kata Najib.
Laporan media sebelum ini menyatakan melalui FundMyHome jika nilai rumah meningkat dalam masa 5 tahun ini, peningkatannya dikongsi dengan peminjam dana 80 peratus.
Jika nilai rumah menurun dalam masa lima tahun ia ditanggung oleh pembeli rumah dan selepas lima tahun, pembeli rumah boleh membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut dengan keuntungan dikongsi dengan peminjam dana 80 peratus.
Selepas lima tahun jika tidak ingin jual, pelabur boleh memiliki rumah tersebut sepenuhnya dengan membuat pinjaman perumahan mengikut nilai pasaran.
“Perlu diingatkan juga bahawa banyak projek perumahan hari ini yang disertakan dengan pelbagai diskaun. Apa yang akan terjadi kepada semua ini dengan skim FundMyHome seperti ini? Lesap?
“Selepas lima tahun, pembeli rumah tetap kena pergi ke bank dan membuat pinjaman perumahan. Dan pada harga pasaran ketika itu! Jika pada masa itu pembeli rumah masih tidak mampu memiliki rumah dan membuat bayaran ansuran setiap bulan apa akan terjadi kepada mereka? Dihalau keluar dari rumah?
“Apa jadi selepas tamat tempoh 5 tahun dan harga hartanah tidak meningkat seperti yang diharapkan? Ditanggung oleh pembeli?” tanya Najib.
Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya sebelum ini berjanji membina 1 juta rumah mampu milik dalam masa 2 penggal pentadbiran.
Manifesto itu juga menyebut, ia lebih mengutamakan projek rumah mampu milik berbanding projek rumah biasa yang harganya terlalu mahal untuk golongan muda yang baru bekerja.
FundMyHome.Com sebuah platform digital merupakan satu usahasama yang akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama mereka.
FundMyHome.Com dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir  Mohamad di Eco World Gallery @ Eco Majestic pada 4 November lepas.

No comments:

Post a Comment