27 NOV: Persekitaran Kuil Maha Mariamman di USJ, Subang Jaya kembali tegang tengah malam tadi apabila sekumpulan orang ramai berhimpunan dan mencetuskan ketegangan apabila perusuh membakar sebuah kenderaan dan menyekat laluan di situ.
Dalam insiden kira-kira jam 1 pagi, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut dirosakkan.
Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi sebaik mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.
Katanya, mangsa datang ke lokasi bersama beberapa lagi anggota BBP Subang Jaya bagi memadam kebakaran sebuah kenderaan yang dibakar perusuh.
Dalam kejadian itu, jentera FRT milik BBP Subang Jaya turut mengalami kerosakan apabila perusuh bertindak memecah cermin hadapan serta belakang selain cermin tingkap jentera di sisi kiri dan kanan.
Pintu belakang jentera bomba turut tercabut, keempat-empat tayar jentera pecah di cucuk objek tajam selain bahagian badan jentera yang kemek dipercayai dipukul objek keras.
Susulan serangan itu, anggota tidak dapat memadamkan kenderaan yang dibakar dan anggota bomba di lokasi kejadian diselamatkan beberapa orang awam ketika kejadian berlaku.
Anggota berkenaan kini berada di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan dialami.
Terdahulu, lebih 1,000 orang berkumpul di lokasi sekitar kuil sejak jam malam dan membuat bising serta dilihat cuba menganggu dan menghalang kenderaan awam yang melalui jalan tersebut.
Mereka mula memenuhi laluan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), sekali gus yang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk menghala ke Shah Alam.
Sebanyak tujuh trak Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tiba di hadapan kuil berkenaan jam 10.30 malam bagi mengawal keadaan.
Bagaimanapun trak berkenaan termasuk kenderaan orang awam tidak dapat bergerak sejak sejam lalu apabila ditahan kumpulan berkenaan.
Sebelum itu, kira-kira jam 9 malam tadi, sebuah kereta Perodua Kembara milik orang awam yang lalu di hadapan kuil ditahan dan dipecahkan.
Sehingga jam 11.30 malam, pasukan FRU tidak dapat melakukan sebarang tindakan kerana dihalang memasuki lokasi.
Bagaimanapun, keadaan di sekitar kuil itu dilaporkan mula tenang apabila kumpulan perusuh bersurai dari lokasi sekitar jam 4.45 pagi tadi.
Polis masih menempatkan anggotanya di kawasan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berulang.
No comments:
Post a Comment