11 NOV: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan kesilapan apabila beranggapan melantik individu tertentu di dalam kabinet bertujuan ‘mengajar’ orang Melayu.
Menurut Ahmad Zahid, beliau yakin di dalam keadaan sekarang ini, di jiwa Tun Mahathir masih tersemat jiwa Islam dan Melayu yang cukup kuat dan memberikan alasan tindakan yang dibuat kerana melaksanakan perjanjian di dalam PH.
“Dalam keadaan begini, saya yakin..di jiwa Tun Mahathir, jiwa Islam dan Melayunya masih kental. Kononnya apa yang dibuat sekarang ini kerana perjanjian dengan empat buah parti dalam PH, untuk beri hak sama rasa dalam parti duduk dalam kabinet. Memberi jumlah kerusi kabinet yang sama walaupun parti itu mendapat jumlah kerusi yang sedikit dalam parlimen.
“Perlantikan ini kononya, dia memberitahu saya untuk ajar orang melayu supaya mereka sedar. Adakah dengan meletakkan jawatan penting itu kepada orang tertentu untuk ajar Melayu?
“Kalau begitu, Tun Mahathir, kamu telah silap…kamu lupa..kamu naik sebab UMNO…UMNO yang telah meletakkan kamu di situ…22 tahun (menjadi PM keempat). Saya tidak mahu singkap sejarah lalu,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas Presiden UMNO bersama kepimpinan UMNO Bahagian Peringkat Negeri Melaka pada Ahad.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mempersoalkan kepimpinan negara di bawah pemerintahan Tun Mahathir, mustahil beliau tidak pernah melakukan silap, namun tidak diambil tindakan oleh Perdana Menteri selepasnya.
“22 tahun menjadi Perdana Menteri, tak mungkin (Tun Mahathir) tidak pernah buat silap. Tapi ada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmah Badawi) ambil tindakan? Ada Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) ambil tindakan kepada beliau dan Pak Lah?
“Sebab apa? Sebab sebagai umat Islam, kita mesti ada ihsan. Matlamat tidak menghalalkan cara. Niat perlu ada, ‘membunuh atau dibunuh’? Itu tidak ada ihsan…itu bukan cara kita,” katanya.
No comments:
Post a Comment