Wednesday, 14 November 2018

JAWAPAN KEPADA ADUN TRAS DAN TANAH RATA DAP TENTANG DEKLARASI SETAPAK DAN ICERD

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Malaysia tidak perlu menyertai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan sebarang cubaan untuk meratifikasinya mesti dihentikan, terutamanya atas dasar ia tidak menggambarkan aspirasi Perlembagaan Persekutuan, realiti demografi sosial Malaysia dan ketiadaan sebarang bukti konkrit bahawa ICERD akan merawat kesenjangan di Malaysia, tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tegasnya, kerajaan mesti mempertimbangkan lima saranan yang telah kemukakan di bawah ini berhubung dengan ICERD sebagai satu langkah yang lebih selamat, rasional dan teratur.
“Saya menyeru dan menggesa Kerajaan Malaysia untuk mempamerkan ketegasan dengan membuat kenyataan yang lebih muktamad (once and for all) berhubung isu ini agar ia tidak terus menjadi polemik politik, khususnya dari parti-parti dalam Pakatan Harapan, yang sudah pasti merugikan semua pihak.
“Saya sekali lagi ingin menegaskan ketidakperluan Malaysia untuk meratifikasinya. Setidak-tidaknya buat masa sekarang,” katanya.
Berikut Kenyataan Media Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
Jawapan kepada ADUN Tras dan Adun Tanah Rata Tentang Deklarasi Setapak dan ICERD.

Saya berhasrat mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh ADUN Tras dan Tanah Rata yang diterbitkan dalam laman rasmi DAP berhubung dengan Deklarasi Setapak, ICERD dan desakan untuk meratifikasikannya.
Kedua-dua ADUN DAP ini mahukan kepimpinan DAP untuk terus teguh dengan pendirian bagi menjayakan ideologi Malaysian Malaysia yang selama ini diperjuangkan. Kedua-duanya mengungkapkan bagaimana konsep tersebut lahir pada 1967 melalui apa yang dipanggil Deklarasi Setapak.
Dalam Deklarasi tersebut, pendirian kepimpinan DAP terdahulu adalah sangat tegas bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’. Bagi kedua mereka, hanya melalui penghapusan label-label tersebut, Malaysia yang sama rata dan saksama akan terjelma.
Kenyataan kedua-dua ADUN ini menunjukkan dengan jelas beberapa perkara penting. Pertama, DAP tidak pernah sesekali meninggalkan misi menjayakan ideologi ‘Malaysian Malaysia’. Dan kedua, DAP tetap berkeras dan begitu ‘konsisten’ mahu merubah wajah dan karakter sebenar Malaysia. Mereka semakin ghairah untuk merealisasikan kandungan Deklarasi Setapak ini setelah menjadi sebahagian dari Kerajaan.
Suka saya menjelaskan bahawa,
Pertama, kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 bukanlah ‘endorsement’ atau persetujuan rakyat Malaysia untuk menghapuskan label ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’.
Keputusan pilihan raya lepas adalah mandat untuk menukar Kerajaan berdasarkan segala tawaran yang terkandung dalam manifesto PH. Dan penghapusan keistimewaan Bumiputera bukan sebahagian daripadanya.
Hanya kerana Kerajaan bertukar, jangan sesekali DAP beranggapan bahawa ini adalah persetujuan rakyat Malaysia untuk memperkenalkan dasar kesamarataan mengikut kefahaman DAP, iaitu menghapuskan label bumiputera dan bukan bumiputera.
Mengubah citra dan karakter Malaysia adalah cita-cita dan aspirasi politik yang sangat berbahaya dalam Malaysia yang sangat pluralistik dan berbilang bangsa. Yang pasti, DAP dan PH tidak mempunyai mandat dari rakyat Malaysia untuk berbuat sesuka hati mereka walaupun meraih kemenangan dalam pilihanraya lepas.
Kedua, kedua-dua Adun ini harus faham, konsep bumiputera dan bukan bumiputera adalah natijah dari persetujuan pelbagai pihak yang menggubal perlembagaan.
Penggubal perlembagaan kita menyedari bahawa perlu wujud asas dan kerangka perlembagaan (‘the constitutional contruct’) yang menggambarkan fabrik sebenar tanah air kita. Ia bukan dasar yang bertujuan untuk mendiskriminasikan mana-mana kaum. Ia bertujuan untuk mengelakkan polarisasi, mengurangkan kesenjangan dan mewujudkan keseimbangan antara kaum dalam negara ini.
Dengan mewujudkan mekanisme mengiktiraf kedudukan Bumiputera sebagai penduduk asal negara ini, ia mewujudkan persefahaman kaum dan akhirnya terbitlah keharmonian yang diperlukan untuk Malaysia membangun sebagai sebuah negara yang berdaya saing.
Ketiga, mana-mana usaha menghapuskan label bumiputera dan bukan bumiputera akan menjerumuskan Malaysia ke kancah konflik perkauman yang sangat tidak diingini.
Amatlah naif, malah tidak bertanggungjawab, untuk DAP beranggapan bahawa semua Bumiputera sudah mempunyai daya tahan dan daya saing yang mencukupi untuk bersaing atas lapangan yang sama rata.
Dan jika pun mereka mempunyai kebolehsaingan, tidak mungkin orang Melayu dan Bumiputera akan dengan mudah melupuskan sahaja kedudukan istimewa seperti yang diperuntukkan secara sah dan termaktub dalam Perlembagaan.
Realitinya, begitu ramai sekali golongan Bumiputera, yang masih jauh ketinggalan dan memerlukan bantuan serta dukungan untuk bersaing. Pergilah ke seluruh pelosok pendalaman Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah dan akan terserlah betapa golongan Bumiputera masih ramai yang sangat terkebelakang dan jauh sekali dari mampu bersaing di lapangan yang sama rata.
Jangan sesekali menjadikan Kuala Lumpur dan kependudukan kota raya sebagai kayu ukur mutlak kebolehsaingan kaum Bumiputera. Mereka yang duduk di kawasan bandar, sangat jauh berbeza dari kependudukan luar bandar baik dari segi keberdayaan, kebolehsaingan, budaya dan pemikiran.
Maka apa jua usaha yang anti bumiputera, atas nama kesamarataan, bukan sahaja akan hadir sebagai satu penafian kepada realiti demografi Malaysia. Malah, pasti akan menimbulkan konflik dan ketegangan kaum. Ini adalah sesuatu yang tidak diinginkan oleh Malaysia dalam apa jua keadaan.
Keempat, DAP mesti mengakui bahawa hubungan antara kaum (‘race relations’) di Malaysia senantiasa berada dalam kedudukan yang baik.
Kita berjaya menjadi negara kesepakatan yang progresif, maju dan global kerana kemajmukan kita. Hanya kebelakangan ini sahaja kita menyaksikan isu perkauman dijadikan modal politik oleh sesetengah pihak termasuk DAP. Sedangkan, sekalipun tanpa meratifikasikan International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD), Malaysia telah menunjukkan contoh yang baik dalam mengurus kepelbagaiannya. Kita mempunyai kearifan tempatan, cara tersendiri dan konsensus politik yang matang.
Pandangan bahawa dengan meratifikasi ICERD, maka kedudukan hubungan antara kaum akan menjadi lebih baik adalah kesimpulan yang sangat melulu dan simplistik. Francis Fukuyama dalam hujahnya yang diterbitkan dalam Foreign Affairs September/Oktober 2018, berkata :
“Globalization has brought rapid economic and social change and made these societies far more diverse, creating demands for recognition on the part of groups that were once invisible to mainstream society. These demands have led to a backlash among other groups, which are feeling a loss of status and a sense of displacement. Democratic societies are fracturing into segments based on ever-narrower identities, threatening the possibility of deliberation and collective action by society as a whole.
Maknanya, kederasan arus globalisasi telah menghasilkan dampak yang sangat besar dan penting terhadap pelbagai kumpulan masyarakat dalam sesebuah negara. Ramai dari mereka yang terus berasa terpinggir. Dengan keberdayaan yang terbatas, mereka semakin tersisih. Keadaan sebeginilah yang telah menyebabkan ‘the politics of identity’ menjadi tren global yang semakin popular.
Hanya sistem politik yang matang sahaja yang berupaya mengurus politik identiti ini dengan efektif. Dan ternyata formula kontrak sosial dan permuafakatan politik yang mengiktiraf kedudukan istimewa masyarakat Bumiputera telah menghasilkan ‘equalibrium’ yang diperlukan untuk menjayakan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk. Membuang kedudukan istimewa Bumiputera bererti merencatkan ‘political equalibrium’ yang telah berfungsi sekian lama. Natijahnya, ia akan menghakis keharmonian dan kesejahteraan masyarakat Malaysia secara keseluruhan.
Kelima, dalam sebuah demokrasi liberal, ‘equality under the law’ tidak akan membuahkan kesaksamaan ekonomi dan sosial. Maknanya, Malaysia yang adil, dan saksama, bukan hanya akan tercapai melalui pengiktirafan undang-undang.
Benar, equality under the law adalah satu konsep yang bermanfaat. Tetapi jangan keliru. ‘Equality under the law” bukan instrumen ampuh untuk mencari keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat yang majmuk. Terutamanya dalam merawat jurang sosial dan kesenjangan kedudukan serta peluang ekonomi.
Kita mesti mengakui bahawa ‘market economies’ mewujudkan jurang pendapatan yang sangat terlihat dan ini secara langsung mewujudkan kesenjangan yang nyata. Kesenjangan inilah yang mewujudkan ‘the real inequality’ dalam masyarakat kita yang akhirnya menjelmakan sikap prejudis terhadap kaum tertentu.
Amerika Syarikat, sebuah negara yang sangat kaya tetapi ‘income inequality’ telah meningkat dengan begitu drastik sejak 30 tahun lepas. Banyak sekali kumpulan penduduknya berhadapan dengan pendapatan yang tepu dan kegagalan dalam mobiliti sosial. Inilah yang telah menyebabkan polarisasi kaum di Amerika Syarikat menjadi semakin parah dan membuahkan gerakan seperti ‘Black Life Matters’ dan pelbagai lagi.
Lebih malang, kita harus sedar, kesenjangan yang tidak diurus dengan baik inilah yang telah dijadikan modal politik dalam kempen pilihanraya seperti yang dilakukan oleh Presidennya Donald Trump. Maka kerana itu, Malaysia telah mengekang keadaan ini, semenjak kemerdekaannya, melalui pelbagai intervensi bersandarkan dasar diskriminasi positif. Tujuannya, seperti yang saya nyatakan di atas, adalah untuk mengekang polarisasi yang membesar dan menyusun semula masyarakat.
Maka kerana itu, pendirian kedua-dua ADUN DAP itu, adalah pemikiran politik yang nyata sangat tidak sensitif terhadap sifat sebenar Malaysia dan kemajmukannya. Ia adalah seruan yang tidak disokong oleh satu pertimbangan yang komprehensif, mendalam dan objektif. Malah, ia boleh dianggap sebagai usaha radikal yang mahu menyentuh dan mempersoal perkara-perkara asas yang menjadi pasak pembentukan amalan bernegara di Malaysia.
Keenam, YAB Perdana Menteri sendiri telah menegaskan keperluan untuk Malaysia berfikir sedalam-dalamnya sebelum meratifikasi ICERD. Malah YAB Perdana Menteri mengakui ada bahagian dari konvensyen tersebut yang sangat tidak bersesuaian dengan ciri-ciri negara kita.
Ia dengan jelas sudah menggambarkan pendirian sebenar negara kita dari semenjak dahulu lagi. Yang jelas, tindakan dua ADUN DAP ini bukan sahaja berlawanan dengan kehendak suara awam, malah sangat bertentangan dengan pendirian pemimpin tertinggi dalam pakatan yang mereka sertai sendiri.
Malah saya berpandangan bahawa tanpa meratifikasi ICERD, ia tidak akan sama sekali menjadikan Malaysia lebih mundur, terkebelakang dan berkompromi dengan standard hak asasi manusianya.
Atas dasar ini, saya ingin sekali lagi menegaskan:
Pertama, ketidakperluan untuk Malaysia menyertai ICERD dan sebarang cubaan untuk meratifikasinya mesti dihentikan. Terutamanya atas dasar ia tidak menggambarkan aspirasi Perlembagaan Persekutuan, realiti demografi sosial Malaysia dan ketiadaan sebarang bukti konkrit bahawa ICERD akan merawat kesenjangan di Malaysia,
Kedua, Kerajaan mesti mempertimbangkan 5 saranan yang telah saya kemukakan dalam kenyataan media saya sebelum ini berhubung dengan ICERD. Ini adalah satu langkah yang lebih selamat, rasional dan teratur, dan;
Ketiga, saya menyeru dan menggesa Kerajaan Malaysia untuk mempamerkan ketegasan dengan membuat kenyataan yang lebih muktamad (once and for all) berhubung isu ini agar ia tidak terus menjadi polemik politik, khususnya dari parti-parti dalam Pakatan Harapan, yang sudah pasti merugikan semua pihak.
Selain mengulang kenyataan media serta rencana terperinci yang saya keluarkan sebelum ini berhubung International Convention on Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD), saya sekali lagi ingin menegaskan ketidakperluan Malaysia untuk meratifikasinya. Setidak-tidaknya buat masa sekarang.


Dato’ Seri Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO

No comments:

Post a Comment