Thursday 8 November 2018

SEKARANG MASA TERBAIK PEGUAM NEGARA DAKWA DAIM

Sekarang adalah masa yang terbaik untuk Peguam Negara, Tommy Thomas melakukan pendakwaan terhadap Tun Daim Zainuddin.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, kedudukan Tommy sekarang adalah platform untuk dirinya membuktikan bahawa beliau adalah Peguam Negara terbaik dalam sejarah Malaysia Baru.
“32 tahun lalu, Tommy Thomas pernah mengecam Tun Daim kerana menguasai UMBC ketika masih menjadi Menteri Kewangan. Bahkan beliau juga mendesak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat kes tersebut.
“Ini terdapat dalam tulisan yang bertajuk ‘Law, Politics and Business : A Conflict of Interest’ 1986.
“Beliau mendedahkan bagaimana pembelian itu tidak mengikut ‘Rule of Law’ seperti Section 23B Akta Bank. Juga dipersoalkan kelulusan pinjaman Daim sebanyak RM164 Juta  dari Oversea Chinese Banking Corporation Bank (OCBC) untuk  membeli saham UMBC.
“Menjadi tanda tanya, kenapa Petronas dan Pernas tidak membeli saham UMBC yang diperuntukkan kepada mereka sehingga menyebabkan Daim menjadi pemilik majoriti saham UMBC.
“Walaupun sudah lama, tetapi kini beliau adalah Peguam Negara. Beliau ada kuasa untuk mendakwa Daim. Ini adalah masa terbaik untuk beliau membuktikan bahawa dia adalah Peguam Negara terbaik dalam sejarah Malaysia Baru,” kata Puad dalam satu kenyataan, Rabu.
Tambah bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu lagi, Tommy akan dilihat sebagai Peguam Negara yang berkecuali setelah imejnya tercemar kerana menggugurkan kes rasuah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan melantik Sitpa Nevaratnam yang pernah bekerja dengannya sebagai Peguam 1MDB dalam kes kapal layar Equanimity.
“Tommy juga akan dikenali sebagai ‘Pemberani’ jika mendakwa Daim kerana Daim adalah Pengerusi CEP iaitu orang kepercayaan Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang melantik beliau sebagai Peguam Negara,” katanya.
Sekiranya Tommy tidak mendakwa Daim ujar Puad, terbukti semua pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Musa Aman adalah pertuduhan politik.
“Apatah lagi banyak kes yang melibatkan penyokong Pakatan Harapan (PH) telah digugurkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment