Sunday 25 November 2018

PM MINTA PEGAWAI KANAN KERAJAAN BERSABAR ATAS SIKAP MENTERI, TIMBALAN MENTERI PH YANG TIDAK MEMUASAKAN

25 NOV: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mengakui kebanyakan menteri, timbalan menteri dan pegawai di dalam kerajaan sekarang masih baharu serta tidak mempunyai pengalaman bagaimana negara ditadbir.

Kecuali beliau yang mempunyai  pengalaman menjadi Perdana Menteri sebelum ini, katanya, lain-lain menteri dan timbalan menteri masih baharu.
Justeru itu, beliau meminta pegawai kanan kerajaan bersabar dengan sikap menteri, timbalan menteri dan pegawai lantikan politik, yang mungkin tidak sependapat dalam cara kerajaan baharu ditadbir.
“Saya minta pegawai kerajaan sabar dan bertolenrasi dengan mereka. Cuba terangkan langkah terbaik dalam membuat sebarang keputusan,” katanya pada sesi dialog Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, di Langkawi, malam tadi.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, bertanya mengenai campur tangan pegawai lantikan politik tertentu yang enggan mematuhi peraturan sebenar proses pentadbiran menyebabkan pihaknya terpaksa campur tangan.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, ada menteri dan timbalan menteri takut berhadapan dengan pegawai kanan kerajaan terutamanya mereka yang mempunyai pengalaman luas.
“Menteri sebenarnya takut jumpa pegawai kerajaan yang berpengalaman, malah ada (menteri) lari tidak mahu jumpa media.
“Tetapi yang hendak buat kerja ini pegawai kerajaan, kita hanya beri arahan. Saya selesa dengan kebanyakan pegawai senior ketika ini kerana dahulu mereka adalah pegawai junior saya,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir berkata kerajaan tidak akan melantik penyokong parti politik tertentu yang tidak mempunyai kelayakan dan kelulusan untuk memegang jawatan penting dalam jabatan atau institusi di bawahnya.

No comments:

Post a Comment