Thursday, 15 November 2018

TEMA BAJET 2019 IBARAT MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI - NORAINI

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Ahli Parlimen Parit Sulung Datuk Noraini Ahmad melahirkan rasa terkejut dengan tema Bajet 2019 kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) iaitu ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik dan Rakyat Sejahtera.
Jelas beliau, tema tersebut diibaratkan ‘masuk bakul angkat sendiri’.
“Saya nak tumpukan pada ‘rakyat sejahtera’ itu… saya yakin, ketika Menteri Kewangan memutuskan untuk mengangkat tema tersebut pastinya beliau tidak dimaklumkan mengenai satu laporan iaitu “World Happiness Index 2018’ yang meletakkan Malaysia di tangga ke 35 dari 156 negara dengan kedudukannya meningkat dari tahun sebelumnya iaitu di tangga 42.
“Untuk pihak Kerajaan yang mungin tidak ada makluman, laporan ini dibuat oleh United Nation dimana rakyat ditanya pada tahun sebelumnya. Kalau sekiranya laporan itu untuk tahun 2018 maknanya 2017 sudah buat. Jadi saya nak tegaskan, laporan ini tentu tidak memihak kepada Malaysia kalau dasar kerajaan BN ketika itu tidak efektif dan tempang, maka ingin saya mencadangkan kepada kerajaan untuk tema rakyat sejahtera itu patut ditukar dalam belanjawan ini.
“…macam masuk bakul angkat sendiri. Lebih teruk belum apa-apa sudah masuk bakul,” ujar beliau ketika berbahas berkaitan Belanjawan 2019.
Dalam ucapannya Noraini turut berkata, hakikat sebenar yang rakyat perlu sedar adalah pelbagai bantuan sama ada dipotong atau telah dimansuhkan.
Begitu juga dengan pemerkasaan wanita yang langsung tidak dinyatakan secara holistik dan komprehensif dalam bajet tersebut.
“Sekadar kerangka kasar dalam pasaran kerja itu sudah lama dibuat. Saya nak bagi contoh, dalam manifesto lepas ada di tekankan nak wujudkan ekonomi peduli wanita, tapi saya tidak nampak dengan jelas dalam belanjawan kali ini.
“Saya ni dari parti UMNO dan juga Ketua Wanita UMNO… apa tujuan pertubuhan UMNO… untuk membela, mempertahankan agenda ekonomi dan sosial bumiputera tapi kita tidak pernah ketepi bangsa lain. Kita bagi peluang dan ruang.
“… jadi saya ingin bertanya kepada pihak kerajaan apakah kerangka yang jelas untuk pertahankan keadilan ekonomi Melayu?” ujar beliau lagi. 

No comments:

Post a Comment