Monday, 5 November 2018

PEMIMPIN PH AKAN DIMALUKAN JIKA GAGAL ISYTIHAR HARTA - NGO GIAT DAN C4.

Cynthia Gabriel Jurucakap GIAT Dan Pengarah C4
5 NOV: Pakatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Governans, Integriti, Akauntabiliti dan Ketelusan (GIAT) akan menamakan dan memalukan pemimpin serta ahli Parlimen PH yang belum mengisytiharkan aset.
Jurucakap GIAT, Cynthia Gabriel turut melahirkan rasa kecewa apabila wakil rakyat PH membuat pengisytiharan pendapatan tanpa memperincikan aset keseluruhan mereka.
“Butiran pendapatan menteri dan ahli parlimen yang dimuat naik di laman web SPRM sebelum ini ‘jauh dari yang dijanjikan PH’ sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.
“Pengisytiharan aset bererti anda perlu mengisytiharkan semua aset, termasuk gaji, akaun bank, saham, hartanah, dan seumpamanya, termasuk yang dimiliki di luar negara,” katanya pada sidang media pada Isnin.
Cynthia menjelaskan bahawa maklumat pendapatan 10 lagi menteri dan 34 anggota parlimen belum dimuat naik di laman web berkenaan.
“Ini jelas sikap tidak hormat dan ‘tak kisah’ di kalangan anggota parlimen dan mereka yang memegang jawatan menteri,” katanya.
GIAT memberikan masa dua lagi minggu untuk menteri PH dan ahli parlimen mengisytiharkan aset mereka secara terperinci.
Cynthia yang juga merupakan pengarah Combat Corruption and Cronyism (C4) berkata, GIAT juga akan menamakan anggota parlimen dan menteri yang butiran pengisytiharan pendapatan belum dimuat naik di laman web SPRM.
Dalam manifesto pilihan rayanya, PH berjanji untuk mewajibkan kesemua anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan berpangkat Jusa C ke atas membuat pengisytiharan aset dan pendapatan.

No comments:

Post a Comment