Thursday, 8 November 2018

KERAJAAN PH JANGAN PERBODOHKAN RAKYAT : BEZA ANTARA ISYTIHAR HARTA DENGAN ISYTIHAR PENDAPATAN.

SEKIJANG, 9 Nov – Naib Ketua UMNO Sekijang, Anuar Abd Manap menyarankan agar semua pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk mempelajari Bahasa Melayu dengan lebih baik terutama dari segi pemahaman kerana kegagalan mereka untuk membezakan pengisytiharan pendapatan dan harta.
Jelas beliau, kedua-dua perkara ini membawa maksud yang jelas berbeza dan kerana itulah kini rakyat sedang mentertawakan pemimpin PH kerana apa yang mereka isytiharkan di portal https://mydeclaration.sprm.gov.my adalah pendapatan dan bukannya harta.
“Isytihar harta bermaksud segala jenis harta yang ada termasuk aset, pelaburan, simpanan samada di dalam ataupun di luar negara tapi yang mereka isytihar hanyalah gaji atau pendapatan yang diterima secara bulanan.
“Mereka sedar atau tidak portal itu adalah portal pengisytiharan harta dan bukannya pendapatan. Perkara ini bagi saya memang lawak… atau sebenarnya mereka ini mahu memperbodohkan rakyat

“Saya juga musykil dengan SPRM. Sepatutnya pihak SPRM memberi pandangan kepada pemimpin PH atau sebenarnya pihak SPRM sudah ‘ditarik telinga’ untuk mengikut telunjuk kerajaan baru sekarang ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Anuar, pemimpin PH sebenarnya terlalu memandang rendah kepada rakyat negara ini. Mereka terlalu mendabik dada setelah berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu sehingga mereka terlupa kuasa rakyat.
“Sebagaimana BN dan UMNO ditumbangkan dalam pilihan raya maka mereka juga harus ingat, rakyat juga boleh melakukan perkara yang sama kepada mereka. Jadi, jangan terlalu yakin sehingga menganggap rakyat boleh diperkotak-katikkan.
“Rakyat kini sedang menilai. Sampai masa rakyat akan kembali bertindak,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment