13 NOV: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar mengingatkan Menteri kerajaan PH untuk tidak membuat kenyataan media terhadap sesuatu perkara sekiranya ia belum dibincangkan di peringkat Kabinet.
Noh menyentuh isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dilihat boleh menggugat kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini, seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.
“Saya minta tolong kepada Menteri, tak payah buat kenyatan jika perkara itu belum dibincangkan. Sebelum dasar dibuat, bincanglah dahulu. Ini boleh timbulkan kemarahan orang terutama Melayu dan Islam.
“Yelah, kenyataan nak ratifikasi ICERD ini telah dibuat oleh bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P. Waytha Moorthy,” katanya ketika membahas Bajet 2019 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambahnya, jika PAS bercadang menggerakkan berjuta ahlinya turun ke jalan raya untuk menolak ICERD, UMNO juga akan membuat perkara yang sama malah lebih ramai lagi dari itu.
“Apa kepentingannya ICERD ini? Pakar Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman juga berkata mana-mana pihak yang menyokong ICERD ini orang gila!
“Semua orang tahu mengenai Perlembagaan 153. Melalui Perkara 11 (4) jelas berkata agama lain tidak boleh disebarkan dikalangan orang beragama Islam. Askar Melayu untuk orang Melayu. Adakah ini dikatakan diskriminasi?,” katanya.
Perkara 11 (4) memperjelaskan memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam,” katanya.
Noh menolak Bajet 2019 PH yang dibentangkan pada 2 November lalu itu kerana merasakan ia sebagai bajet ‘miskin bertambah miskin, kaya bertambah kaya’.
Noh turut menyentuh skim perumahan baharu iaitu property crowdfunding yang dikatakan sebagai alternatif bagi pembelian rumah pertama menerusi pinjaman terbuka antara rakan setara atau peer-to-peer lending.
Katanya, skim itu tidak jelas kerana hanya mengkayakan kroni dan bukan untuk membantu rakyat untuk memiliki rumah.
Menerusi mekanisme baharu ini, seorang pembeli rumah hanya perlu mengeluarkan 20% daripada harga jualan dan seterusnya memiliki rumah ini untuk tempoh 5 tahun tanpa perlu membayar apa-apa tanggungan bulanan sebelum pembeli tersebut menjual kembali rumah ini atau membuat pembelian penuh menerusi pembiayaan semula.
Pada masa yang sama, pelabur akan menanggung 80% harga rumah ini akan mendapat pulangan sebanyak 5% setiap tahun untuk tempoh 5 tahun tersebut.
No comments:
Post a Comment