KUALA LUMPUR, 25 Nov – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menemui ketua pengarang akhbar berbahasa Cina dan memberi peringatan bahawa beberapa parti politik dan individu-individu sedang memainkan sentimen masyarakat Melayu dengan menggunakan isu ICERD dan isu-isu perkauman lain adalah amat mendukacitakan, demikian kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Jelas beliau, tindakan Lim bertemu dengan pengarang-pengarang akhbar berbahasa Cina ini dilaporkan oleh sebuah portal berita pada hari yang sama kerajaan mengeluarkan kenyataan untuk tidak meratifikasikan ICERD.
“Saya ingin bertanyakan beberapa soalan kepada beliau, mengapa Lim Guan Eng hanya memanggil pengarang akhbar berbahasa Cina sahaja jika beliau mahu membuat kenyataan akhbar, sedangkan beliau ada seorang menteri kerajaan Persekutuan.
“Adakah sesuatu yang tersembunyi di sebalik pertemuan tersebut yang beliau tidak mahu orang-orang Melayu mengetahuinya?
“Dan mengapa selepas kenyataan kerajaan itu (tidak meratifikasikan ICERD) dikeluarkan pun, orang-orang yang menentang ratifikasi ini masih dianggap sedang memainkan sentimen Melayu dengan menggunakan isu ICERD ini?” soalnya tegas.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucaputama pada Kongres Menolak ICERD yang dianjurkan Sekretariat Kedaulatan Negara (Daulat) dan Gerakan Pembela UMMAH bertempat di PWTC di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tun Hamid juga menegaskan bahawa orang Melayu menentang ICERD kerana percaya ia bercanggah dengan perlembagaan dan juga percaya ia akan menghakis, malah menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.
“Kita bukan memainkan sentimen masyarakat Melayu dengan menggunakan isu ICERD ini. Untuk apa kita memainkan sentimen masyarakat Melayu tanpa sebarang tujuan? Mengapa menjolok sarang tebuan?
“Saya perhatikan, setiap penulis, baik daripada parti-parti Melayu, NGO Melayu, individu-individu Melayu, yang menentang ICERD di cop sebagai rasis. Apa yang peliknya, orang Melayu yang mempertahankan hak mereka seperti yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam Perlembagaan dikatakan rasis.
“Tetapi orang bukan Melayu yang hendak mengambil hak orang Melayu tidak pula dikatakan rasis? Sejak dari awal lagi, kita sudah menegaskan, bahawa kita menentang ICERD kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan.
“Kita tidak mahu peruntukan-peruntukan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak Sabah dan Sarawak di mansuhkan. Dalam kata-kata lain, kita mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.
Kata Tun Hamid, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung tidak meratifikasikan ICERD, kerajaan menyatakan ICERD tidak akan diratifikasikan kerana kerajaan mempertahankan perlembagaan Persekutuan.
“Ertinya, apa yang dilakukan oleh orang Melayu hari ini dan apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah sama, iaitu mempertahankan perlembagaan Persekutuan.
“Maka jika kerana mempertahankan perlembagaan Persekutuan, orang Melayu dituduh rasis, adakah atas hujah yang sama kerajaan PH juga rasis dengan tidak meratifikasikan ICERD kerana ingin mempertahankan perlembagaan?
“Jika tindakan kerajaan PH menolak ratifikasi ICERD kerana mahu mempertahankan perlembagaan Persekutuan tidak rasis, jadi mengapa menuduh mereka yang mempertahankan perlembagaan ini sebagai rasis?
“Sedangkan kedua-duanya melakukan perkara yang sama iaitu mempertahankan perlembagaan Persekutuan? Itu adalah logik yang sangat mudah yang sepatutnya difahami oleh mereka yang menuduh orang Melayu rasis kerana menolak ICERD,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment