25 NOV: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak dikatakan dalam keadaan goyah berikutan terdapat usaha dikalangan beberapa EXCO negeri itu untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Gerakan tersebut dikesan apabila sekurang-kurangnya lima ADUN UMNO dan ditawarkan dengan pelbagai tawaran supaya membantu usaha mereka dalam menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, mendakwa wakil rakyat parti itu dihubungi EXCO bagi menjayakan gerakan menjatuhkan menteri besar tersebut.
Katanya, jika berlaku undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, 18 ADUN DAP, enam ADUN PAN (AMANAH) dan empat PKR akan menyokong, manakala tiga ADUN iaitu Ahmad Faizal sendiri dan dua lagi tidak akan menyokong.
“Ini bermakna 28 ADUN akan menyokong undi tidak percaya, tetapi tidak cukup untuk membentuk kerajaan, sebab itu mereka perlukan (sekurang-kurangnya) dua daripada ADUN UMNO.
“Sehingga semalam pun ada ADUN UMNO dihubungi, saya tahu sebab mereka (ADUN UMNO) melaporkan balik kepada saya… kita tunggu masa yang sesuai untuk mengisytiharkan kepada media siapakah mereka,” katanya.
Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri adalah sebanyak 30 kerusi daripada 59 kerusi DUN Perak.
Saarani bercakap kepada media selepas program pertemuan pucuk pimpinan UMNO diketuai presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama kepemimpinan UMNO Perak di Sungai Sipur, hari ini.
Saarani yang juga Ketua Pembangkang, berkata pihaknya tidak akan mencampuri pertelingkahan yang berlaku dalam kerajaan negeri tetapi percaya krisis politik ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pada 2009 akan berulang.
Dalam krisis 2009, kerajaan Pakatan Rakyat hanya bertahan selama sembilan bulan selepas dua ADUN PKR dan seorang ADUN DAP mengisytiharkan keluar parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).
Pada PRU 14, 9 Mei lalu, BN memperoleh 27 kerusi manakala beberapa parti yang bertanding di bawah PKR 29 kerusi dan PAS tiga kerusi.
Bagaimanapun, dua ADUN BN menyokong PH membolehkan mereka membentuk kerajaan negeri.
No comments:
Post a Comment