Monday 26 November 2018

KERAJAAN PH TERPAKSA PANASKAN ISU 1MDB UNTUK TUTUP JANJI-JANJI BOHONG.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat bergantung harap kepada isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dimanipulasi bagi kekalkan kepercayaan rakyat kepada mereka setelah gagal menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, ujar Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Terkini katanya, mengenai pengakuan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad yang diarahkan oleh kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan media berkaitan laporan akhir pengauditan syarikat pelaburan strategik negara itu.
“Kenyataan media Tan Sri Madinah membuktikan kerajaan PH amat memerlukan isu 1MDB untuk mengekalkan kepercayaan rakyat kepada mereka. Bukan itu sahaja mereka juga mahu ahli UMNO percaya kekalahan UMNO disebabkan 1MDB bukan isu GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan janji bohong PH. Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) mesti dipersalahkan.
“Tan Sri Madinah mengakui mesyuarat kabinet, mengarahkan beliau membuat kenyataan media pada hari ahad (semalam) kononnya laporan akhir pengauditan 1MDB kepada PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) telah dipinda beberapa kali.
“Tidak disebut secara nyata, apa yang dipinda. Apakah yang dipinda itu ialah memadamkan nama suspek, pindaan ayat, pindaan angka-angka kewangan atau pindaan untuk melindungi kesalahan,” ujar Puad dalam entri di Facebooknya.
Tegas Puad lagi, sudah pasti kenyataan media itu menimbulkan persepsi iaitu bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak cuba menipu dan melindungi penjenayah.
“Mengenai Jho Low, Najib telahpun menjelaskannya melalui jawapan bertulis di Parlimen pada 21 Disember 2015 (lebih awal daripada tarikh dakwaan pindaan 2016), iaitu Jho Low hadir ke mesyuarat itu kerana dia mewakili syarikat Petrosaudi dan Putera Turki. Jawapan sebelum tarikh dakwaan pindaan itu dibuat membuktikan tiada ‘cover up’.
“Kenyataan Tan Sri Madinah itu masih kabur tetapi dibuat secara terbuka kepada orang ramai. Justeru, rakyat perlu membaca penjelasan terkini Najib di dalam fb (Facebook) nya.
“Peguam Tan Sri Shafie Abdullah juga mempertikaikannya sebagai ‘contempt of court’. Tan Sri Ambrin (bekas Ketua Audit Negara) pula telah menafikan dakwaan mengenai pindaan tersebut,” katanya.
Justeru Puad melihat kenyataan media itu mempunyai muslihat tertentu.
“Bahkan dalam kenyataan media itu didedahkan, laporan akhir pengauditan 1MDB dianggap sebagai satu krisis dan mantan PM minta siasatan dilakukan oleh pihak penguatkuasa.
“Itu bermakna tiada unsur untuk melindungi,” jelas Puad.
Oleh kerana itulah Puad berpendapat isu 1MDB akan terus dipanaskan oleh pemerintah.
Kenapa? Kerana Najib dianggap sebagai satu ancaman kerana dia aktif menjawab isu di media sosial, jawapannya berfakta dan hujahnya di Parlimen kukuh.
“Najib mesti dimusnahkan lebih awal secara total walaupun kes mahkamahnya belum bermula dan dakwaan mengenai 1MDB belum dibuat. Itulah dendam keadilan Kerajaan PH?,” tegasnya. 

No comments:

Post a Comment