Monday 6 August 2018

CAMPUR TANGAN PRU-14 : AMERIKA SYARIKAT LANGGAR KEDAULATAN MALAYSIA- CHaRM


6 OGOS: Pergerakan Sivil dan Hak Asasi Manusia Malaysia (CHaRM) mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan mana-mana negara luar dalam proses pilihan raya Malaysia.
Jurucakapnya, Daniel Goh berkata, hanya rakyat Malaysia berhak menentukan jenis kerajaan yang diinginkan dan campur tangan asing merupakan satu pelanggaran serius kepada kedaulatan negara.
“Hanya rakyat Malaysia berhak memutuskan jenis kerajaan yang kita inginkan sebagaimana hak demokratik rakyat AS untuk memilih kerajaan mereka tanpa campur tangan tidak wajar dari Rusia atau mana-mana kuasa asing lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas penularan rakaman video di laman sosial tentang sebuah forum anjuran Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSIS) di Washington, Amerika pada 17 Julai lalu di mana wakil Institut Republikan Antarabangsa (IRI) mendedahkan mereka memberi bantuan kepada parti pembangkang sejak 2002.
Menurut wakil IRI, mereka membantu parti pembangkang ketika itu untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan dana daripada National Endowment for Democracy (NED).
Wakil IRI turut mengakui pihaknya menemui pemimpin-pemimpin kanan PH di pejabat Perdana Menteri selepas mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.
Daniel turut mendesak Kerajaan AS membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, BN dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung campur tangan asing itu dalam sistem pilihan raya di negara ini.
“Najib telah cuba menolak undang-undang pembiayaan pilihan raya dalam usaha untuk menjadi lebih telus, tetapi tidak mendapat sokongan daripada pihak pembangkang pada masa itu. Alasannya sekarang jelas,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment