Sunday, 16 December 2018

ADA GERAKAN UNTUK BELI AHLI PARLIMEN DAN ADUN PAHANG

FRASER’S HILL, 16 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, telah ada gerakan untuk membeli Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pahang untuk berpaling tadah seterusnya menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
Jelas beliau, telah ada gunting dalam lipatan yang mengugut dan memujuk Ahli Parlimen dan ADUN agar kerajaan BN Pahang tumbang.
“Saya ingatkan orang Pahang bahawa sudah ada gunting dalam lipatan. Saya tidak menuduh tetapi kita harus berhati-hati.
“Kita harus membendung agar Ahli Parlimen dan ADUN di Pahang tidak berpindah ke sebelah sana sebab sudah ada yang berjumpa dengan orang itu (tidak memaklumkan nama)…
“Saya Menteri yang pernah jaga polis.. askar… saya beritahu ini… jadi saya ingin ingatkan kita perlu hati-hati. Usaha sudah dibuat. Perjumpaanpun telah buat. Saksi dalam perjumpaan itupun ada maka kita perlu pertahankan agar mereka ini kekal dengan BN,” ujar beliau ketika berucap dalam program retreat UMNO Bahagian Temerloh.
Tambah Zahid, sebelum nasi menjadi bubur, kepimpinan UMNO Pahang perlu melakukan sesuatu kerana ‘mereka di sebelah sana’ sangat licik.
“Saya beri contoh kejatuhan Melaka ketika Belanda menyerang.. Ketika Portugis menyerang… semua disebabkan maklumat dalaman.
“Jangan risau pasal saya… apapun keputusan saya (untuk kekal sebagai Presiden), saya tetap akan kekal bersama UMNO kerana saya mahu melihat UMNO terus relevan.
“… biar siapapun yang menjadi Presiden selepas ini, PRU akan datang saya mahu melihat UMNO kembali menguasai Putrajaya,” tegas beliau. 

No comments:

Post a Comment