Minyak didagangkan pada paras terendah dalam tempoh 15 bulan berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan kebimbangan masalah bekalan pada tahun 2019.
Menurut laporan Norbert Ruecker, Ketua Penyelidikan Makro dan Komoditi di Julius Baer Group Ltd di Zurich. bahawa harga minyak mentah dunia telah turun ke paras di bawah 60 dollar Amerika se-tong (USD49.88 WTI, USD59.61 Brent dan USD59.76 TAPIS).
Sebulan yang lepas semasa Bajet 2019 dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, harga minyak dunia adalah sekitar AS$70 se-tong.
Pada ketika itu Menteri Kewangan telah menyediakan Bajet 2019 dengan mengandaikan bahawa harga minyak dunia berkekalan berada di paras AS$72 se-tong.
Turun naik harga minyak dunia ini adalah penting kepada ekonomi sesebuah negara kerana perbelanjaan kerajaan bergantung kepada kutipan hasil, dan kutipan hasil kerajaan PH kini terlalu amat bergantung kepada harga minyak yang dijual dan dieksport.
Apabila harga pasaran minyak dunia kini mulai jatuh sebanyak lebih AS$12 se-tong iaitu di bawah paras andaian bajet AS$72 sebagai asas ramalan oleh Kerajaan PH untuk menyediakan Bajet 2019, ini telah membawa implikasi yang besar di mana hasil kutipan minyak untuk menampung perbelanjaan telah berkurangan kini jatuh melebihi 16%.
Semasa zaman Kerajaan BN memerintah (terutama era Dato’ Seri Najib), kita telah menyedari tentang kesan turun naik harga minyak dunia yang kita tidak boleh kawal.
Apabila harga minyak dunia naik kita akan dapat pendapatan lebih, namun apabila harga minyak turun kita akan hilang pendapatan.
Oleh sebab itulah Kerajaan BN di bawah Dato’ Seri Najib dahulu telah membuat keputusan bahawa kita tidak boleh terlalu bergantung kepada hasil minyak untuk menampung perbelanjaan Kerajaan kerana ianya tidak stabil.
Perdana Menteri pada ketika itu, Dato’ Seri Najib telah mengambil keputusan untuk mempelbagaikan hasil cukai dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak sahaja.
Untuk ini GST telah diperkenalkan untuk menstabilkan pendapatan Kerajaan dan disamping itu juga untuk mengurangkan ketirisan atas kutipan cukai.
Dengan langkah-langkah ini, sekiranya harga minyak dunia jatuhpun seperti sekarang, hasil pendapatan kerajaan masih stabil dan tidak terlalu terkesan.
Semasa zaman Perdana Menteri Dr Mahathir 1.0 pada tahun 1982-2003 dahulu, kebergantungan hasil kerajaan kepada minyak adalah setinggi 30%-50%.
Pada zaman Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri, beliau telah mengurangkan kebergantungan hasil Kerajaan kepada minyak ini ke paras serendah 14%.
Akibatnya ekonomi Malaysia telah menjadi lebih berdaya tahan (resilient) dengan pertumbuhan sebanyak 6% setahun, lebih kurang dua kali ganda daripada purata pertumbuhan ekonomi dunia pada ketika itu dan pertumbuhan ekonomi Malaysia kini.
Namun kini, di zaman Perdana Menteri Dr Mahathir 2.0, dalam hanya beberapa bulan sahaja, kebergantungan hasil kerajaan kepada minyak telah meningkat kembali ke paras 30%.
Kini, apabila harga minyak dunia jatuh sebegini dan GST pula digantikan dengan SST yang banyak ketirisan, hasil kerajaan akan berkurangan sebanyak berbillion-billion ringgit dan ini memberikan kesan negatif kepada perbelanjaan Kerajaan dan ekonomi Negara.
Adalah dianggarkan, setiap AS$1 kejatuhan harga minyak dunia akan menyebabkan negara hilang pendapatan sebanyak RM1 billion setahun (secara langsung daripada dividen Petronas kepada Kerajaan dan secara tidak langsung daripada kekurangan pendapatan Petronas secara keseluruhan).
Oleh itu, adalah dianggarkan setakat ini negara atau kerajaan mempunyai kekurangan pendapatan atau lompong belanjawan sebanyak RM5-RM11 billion untuk menampung perbelanjaan Bajet 2019 akibat kejatuhan harga minyak dunia ini. Ini adalah satu lompong belanjawan yang besar.
Ini diburukkan lagi dengan ketirisan cukai SST yang dianggarkan berjumlah RM5-10 billion setahun.
Oleh kerana kesan kesilapan-kesilapan dasar ini, besar kemungkinan kerajaan PH sekali lagi tidak akan menunaikan janji-janji mereka, bukan sahaja untuk Manifesto PRU-14 malah juga untuk Bajet 2019 yang telah dibentang.
Dan kali ini mereka tidak boleh lagi menyalahkan Kerajaan BN dahulu, sebab kesan-kesan di atas terang-terangan adalah akibat pendek akal pemimpin-pemimpin Kerajaan PH itu sendiri:
Pertama, mengapa mansuhkan GST dan gantikan dengan SST yang tidak cekap serta tiris?
Kedua, mengapa mempertingkatkan 30% kebergantungan hasil kerajaan kepada minyak?
Ketiga, di atas faktor apa mengandaikan bahawa harga minyak akan terus kekal di paras tertinggi AS$ 72 se-tong semasa menyediakan Bajet 2019?
Keempat, siapa suruh buat dasar-dasar dengan tak fikir panjang?
Ini semua tidak ada kena mengena dengan hutang negara kerajaan dulu.
Seperkara lagi, bukankah dulu pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik yang kononnya bijak pandai dalam PH inilah yang pernah mengatakan yang bila harga minyak dunia turun maka harga minyak di stesyen Minyak di Malaysia juga patut diturunkan?
Kini harga minyak dunia telah turun. Di manakah mereka-mereka ini menyorok muka mereka sekarang tidak menurunkan harga minyak mengikut harga pasaran walaupun telah berjanji untuk menurunkan mulai Januari 2019? Iaitu RM1.90.
Kepada YB Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kata anda seorang akauntan, gunakan otak apabila membuat dasar ekonomi. Jangan main hantam kromo sahaja.
Dan jika tidak tahu, jangan sombong dan berlagak pandai dan tahu semua daripada rakyat. Ini kerana setiap dasar yang dibuat membawa implikasi yang besar kepada rakyat dan negara.
Untuk menutup kelompong belanjawan berbillion ringgit dan menutup kesilapan mereka lakukan, Menteri Kewangan dan Kerajaan PH kini telah membuat tiga pilihan seperti berikut yang memudaratkan rakyat :
Pertama, memotong bebrapa peruntukan-peruntukan dalam Bajet 2019 kononnya banyak hutang (hutang yang direka-reka).
Sebelum ini kita telah lihat Kerajaan PH telah memotong atau menghapuskan bantuan kepada golongan miskin dan B40 walaupun jumlah perbelanjaan keseluruhan dalam Bajet 2019 meningkat sebanyak RM30 billion.
Kini dengan kekurangan hasil akibat kejatuhan harga minyak ini, kami rakyat tidak terkejut jika Kerajaan dan Menteri Kewangan akan memotong lagi peruntukan-peruntukan bantuan kepada golongan-golongan miskin dan B40 ini.
Kedua, Kerajaan akan meminjam lagi duit berbillion ringgit untuk menutup kelompong belanjawan ini. Ini akan meningkatkan lagi defisit dan hutang negara.
Tidak sampai setahun Kerajaan PH memerintah, hutang negara telah meningkat berpuluh billion ringgit serta defisit juga meningkat. Ini tidak termasuk hutang sebanyak RM1 trillion yang mereka reka-reka sebelum ini.
Ketiga, Kerajaan akan menjual (dengan harga yang murah) aset negara kepada kroni-kroni pemimpin sekarang. Kebanyakkan aset-aset ini adalah Syarikat Milik Kerajaan (GLC) yang lazimnya mempunyai kepentingan Bumiputra. Sebagai contoh Syarikat-syarikat di bawah Khazanah dan PNB,Tabung Haji, Syarikat-syarikat di bawah FELDA, MARA dan sebagainya.
Adakah ini merupakan satu rancangan jahat kerajaan PH yang dikuasai DAP untuk mensabotaj ekonomi Bumiputra?
Semasa zaman Tun Mahathir jadi Perdana Menteri pertama kali pada tahun 80an dan 90an dahulu, beliau menggelar langkah penjualan aset kerajaan ini sebagai dasar “Penswastaan” atau “Privatisation”. Ada orang mengenalinya sebagai “Piratisation” atau “Pelanunan wang rakyat” untuk kepentingan kroni-kroni.
Namun yang untung dan kaya raya dalam dasar penswastaan Tun Mahathir ini adalah bukannya rakyat, namun beberapa orang kroni beliau. Sebagai contoh penswastaan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan perjanjian berat berat sebelah Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang membebankan rakyat pada tempoh yang begitu panjang. I MDB berjaya membebaskan rakyat daripada dibebankan oleh tarif elektrik yang tinggi dengan mengambil alih beberapa IPP.
Sebaliknya, yang tertekan adalah rakyat yang terpaksa menanggung bayaran konsesi kepada syarikat-syarikat kroni yang “diswastakan” ini selama berpuluh tahun. Kini perkara ini berulang kembali dengan “Penswastaan Kroni 2.0” kerajaan PH.
Ketiga-tiga pilihan di atas yang sedang dan akan dilakukan oleh Kerajaan PH dan Menteri Kewangan ini akan menjejaskan ekonomi kaum Bumiputra. Ianya umpama tikus membaiki labu dan harapkan pagar, pagar makan padi.
Apabila perkara-perkara di atas berlaku, maka lengkaplah formula meranapkan bukan sahaja ekonomi negara amnya malah ekonomi Bumiputra khasnya oleh Kerajaan PH yang dikuasai DAP.
Sudahlah ekonomi Bumiputra diranapkan akibat dasar-dasar mereka yang telah dan akan mengakibatkan berpuluh-puluh ribu orang kehilangan pekerjaan, harta negara yang kebanyakkannya ada kepentingan Bumiputra di bawah DEB juga mungkin akan habis dijualnya.
Adakah kita kaum Bumiputra hanya rela berpeluk tubuh dan hanya melihat sahaja hak kita yang sedang dijarah oleh mereka-mereka yang tamak ini? Ayoh bangkitlah kaum Bumiputra untuk mempertahankan hak kita, sebelum kita menjadi kaum yang bangsat dan papa kedana di tanah air kita sendiri.
No comments:
Post a Comment