Sunday 16 December 2018

KELUAR SAHAJA DAN KOSONGKAN KERUSI, JANGAN SALAHKAN ORANG LAIN.


16 DIS: Ahli Parlimen yang meninggalkan UMNO tidak perlu berbohong memberi alasan keluar parti termasuk menyalahkan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Cakap betul-betul lah, nak keluar pun bohong, cakap sahaja saya tidak tahan jadi Ahli Parlimen pembangkang, takut (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) jadi Perdana Menteri” kata Tan Sri Shahrir Abd Samad.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu, ahli parti seharusnya berpegang kepada prinsip tidak sesekali menyalahkan pimpinan parti di atas keputusan yang mereka sendiri buat.
“Sekarang ini ada Ahli Parlimen yang mahu mengugut parti dengan mendakwa kalau (Ahmad Zahid) tak letak jawatan, ramai lagi akan keluar sedangkan beliau sendiri dipilih oleh parti.
“Pilihan yang terbaik sekarang, mereka yang keluar ini bukan lompat tetapi pulangkan kerusi yang dimenangi atas tiket parti.
“Pada kami yang tidak patuh pada pandangan parti ialah mereka yang melompat, bukan mereka yang tinggal. Tidak munasabah permintaan mereka.
“Kalau nak keluar, keluar lah, ini yang menderhaka, boleh menuntut pula, jangan perhatian dan menuduh orang lain untuk menutup kesilapan kita,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Johor Bahru, di sini, hari ini.
Saranan itu merujuk kepada tindakan beberapa Ahli Parlimen dan Adun UMNO yang meninggalkan parti berkenaan dengan alasan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, mereka yang meninggalkan parti itu lah yang sebenarnya tidak layak meminta apa-apa kerana tidak mempunyai prinsip dan pegangan dalam meneruskan perjuangan.
Tegasnya, Presiden menang dengan majority pada pemilihan lalu dan ini harus dihormati seperti dibuat oleh UMNO Johor Bahru.
“Johor Bahru tidak undi Zahid tetapi dia menang dengan majoriti. Kita hormati keputusan itu. (UMNO Bahagian) Larut rasa saya undi Zahid, lepas itu dia pula minta Zahid lepaskan jawatan,” ujar Shahrir.
Beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menetapkan syarat supaya Ahmad Zahid melepaskan jawatan Presiden UMNO atau lebih ramai pemimpin akan keluar parti.
Mengulas lanjut mengenai pendirian tetap Ahmad Zahid yang mahu kekal sebagai Presiden UMNO, beliau menasihati ahli lain terus memberikan sokongan dan bergerak senada untuk mengelakkan perpecahan.

No comments:

Post a Comment