Tuesday 11 December 2018

MUJAHID YUSUF RAWA YANG SEPATUTNYA MENTERI MENJAGA EHWAL ISLAM TELAH MEMFITNAH SERTA MENGKHIANATI INSTITUSI ISLAM TABUNG HAJI DI PARLIMEN


11 DIS: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf Rawa kononnya Tabung Haji (TH) mengalami defisit dan hibah yang dibayar adalah salah dari segi akta dilihat bertentangan dengan laporan yang dikeluarkan Ernst &Young (EY).
Ini kerana tegas Bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Rahim kenyataan Mujahid semalam tidak mengambil kira susut nilai keseluruhan aset berbanding liabiliti.
“Asas kepada tuduhan beliau adalah aset keseluruhan TH adalah lebih rendah iaitu RM70.3 bilion berbanding liabiliti sebanyak RM74.4 bilion.
“Maka saya ingin tegaskan bahawa pengurusan TH terdahulu tidak melanggar akta berkenaan dan tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa.
“Ini kerana YB Menteri tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dalam menilai nilai realis aset keseluruhan melibatkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.
“Apa yang diambil kira hanya laporan kewangan semata-mata,” katanya dalam satu sidang media khas di lobi parlimen hari ini.
Tambah Azeez berdasarkan rekod bagi tahun 2015, nilai realis aset adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion yakni ada lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion.
“Nilai aset realis pada tahun 2016 adalah sebanyak RM69.1 bilion manakala agregat liabiliti setelah mengambil kira hibah 2016 adalah sebanyak RM68.4 bilion maka ada lebihan aset ke atas liabiliti sebanyak RM701 juta.
“Bagi tahun 2017,  nilai aset realis adalah sebanyak RM74.7 bilion berbanding aggregat liabiliti termasuk bayaran hibah 2017 sebanyak RM74.4 bilion maka ada lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM373 juta,” ujarnya.
Menurut Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, berdasarkan laporan kewangan Price Waterhouse Coopers (PWC) yang dibuat pada Ogos 2017 dan diberikan kepada setiap Ahli Parlimen semalam, juga ada terkandung laporan EY yang menunjukkan aset TH melebihi liabiliti untuk ketiga-tiga tahun (2015, 2016, 2017).
“Mengikut peruntukan seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995, aset Kumpulan Wang tidak kurang daripada jumlah liabiliti Kumpulan Wang, amaun yang kena dibayar kepada pendeposit dikira seolah-olah kena dibayar dengan serta-merta.
“Sejak 2015 TH telah menilai semua aset pada nilai realis (nilai pasaran semasa) dan bagi tiga tahun yang lepas, berdasarkan laporan yang disahkan oleh firma audit luar, nilai aset tabung haji melebihi semua liabiliti. Untuk makluman, nilai realis aset adalah nilai pasaran semasa dan bukan nilai kos pelaburan asal.
“Maka Tabung Haji telah membayar hibah mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dan tidak menyalahi sebarang undang-undang,” katanya lagi.
Sehubungan itu jelas Azeez, penyata kewangan yang dibentangkan ke Parlimen setiap tahun belum mengambil kira kesemua aset pada nilai pasaran terkini kerana pelaburan dalam anak syarikat, syarikat usahasama, syarikat bersekutu dan hartanah masih dinyatakan pada nilai kos asal.
“Penilaian yang dinyatakan oleh Menteri semalam berbeza daripada apa yang dibuat oleh TH, iaitu beliau tidak mengambil kira nilai pasaran terkini.
“Apa yang dibuat oleh TH terdahulu adalah tidak salah kerana penilaian tersebut disahkan oleh tetuan EY yang sangat profesional dan beretika.
“Selain EY, laporan dan kedudukan kewangan TH telah disemak oleh Jabatan Audit Negara yang kemudian memperakukannya melalui sijil bersih setiap tahun kepada Tabung Haji.
“Perlu diingatkan bahawa badan berkanun mestilah tertakluk kepada Ketua Audit Negara dalam urusan dan pengesahan audit.
“Ini jelas termaktub dalam Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan 1980) sepertimana dinyatakan dalam Seksyen 5(1) dan 5(2) serta Seksyen 6.
“Sekalipun wujud perbezaan pandangan dan tafsiran mengenai dasar perakauanan dalam penilaian aset antara EY dan Price Waterhouse Coopers (PWC) seperti yang dirujuk oleh YB Menteri, akhirnya laporan muktamad adalah berdasarkan pengesahan Jabatan Audit Negara,” ujarnya lagi.
Selain itu katanya, pelbagai langkah lain turut diambil bagi memelihara kewibawaan dan amanah termasuk penubuhan Jabatan Integriti di TH.
Berhubung keadaan pasaran saham merudum teruk pada tahun 2018, jelas Azeez ia bukanlah kerana kelemahan pengurusan terdahulu tetapi disebabkan faktor ekonomi luar dan dalam negara yang kesannya dirasai oleh semua agensi.
“Persoalannya apa pengurusan baharu TH telah lakukan untuk mengatasi cabaran dan keadaan ini. Berapakah keuntungan  yang dijana sejak bulan Julai 2018?
“Saya hairan mengapa YB Menteri dan pengurusan tertinggi TH yang baharu masih ghairah mahu mencari kesalahan pengurusan terdahulu sehingga sanggup melemparkan tohmahan dan memainkan sentimen liar.
“Adalah tidak bertanggungjawab bagi YB Menteri membuat kenyataan tanpa siasatan yang lengkap terlebih dahulu. Janganlah asyik mengambil pendekatan menggunakan media bagi mengelirukan dan meresahkan rakyat terutamanya kepada 9.3 juta pendeposit TH.
“Saya tidak pasti apa sebenarnya masalah pengurusan TH sekarang tetapi saya sangat berharap TH dapat ditadbir dengan baik, bertindak secara objektif dan kompetitif.
“Saya juga berharap pengurusan TH tidak akan menaikkan tambang bagi musim haji 2019 dengan mengekalkan subsidi seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini bagi menjaga kepentingan bakal jemaah haji,” katanya.
Azeez turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh kakitangan TH atas komitmen dan kerja keras dalam memastikan para pendeposit menerima hibah terbaik daripada simpanan serta pelaburan mereka tanpa melanggar undang-undang.
“Akhir sekali, saya bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pengurusan TH dan pihak berwajib termasuk bagi tujuan siasatan jika diperlukan bagi menjaga kesucian dan nama baik Tabung Haji yang selama ini diiktiraf oleh seluruh dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment