Tuesday 11 December 2018

TH IALAH TABUNG HAJI BUKAN TABUNG HARAPAN, KENAPA POLITIKKAN?


11 DIS: Datuk Seri Najib Tun Razak terus membidas  Kerajaan PH kerana mempolitikkan Tabung Haji (TH) dan mengingatkan bahawa itu bukan satu langkah bijak sebaliknya satu langkah yang bahaya.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, TH ialah Tabung Haji dan bukan Tabung Harapan untuk kamu dijadikan bahan politik.
“Langkah Kerajaan PH semalam untuk mempolitikkan TH dengan mendakwa TH telah terlebih bayar dividen (hibah) untuk empat tahun berturut-turut sehingga mengalami defisit RM4.1 bilion serta aset TH sedang dijual bukan satu langkah bijak.
“Lebih-lagi jika defisit ini sudah diselesaikan seperti diumum oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mujahid Yusuf semalam juga.
“Bagaimana dia selesaikan dan mengapa cepat sangat boleh diselesaikan? Itu perkara lain yang dia harus jawab,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Najib berkata, beliau memerhatikan media di bawah kawalan kerajaan pagi ini terus memainkan isu TH dan ada yang memetik bahawa sebanyak 30 peratus dari pelaburan TH di dalam saham disenarai telah mengalami kejatuhan nilai melebihi 50 peratus.
“Pada ketika nilai pelaburan TH telah jatuh dengan banyak akibat penurunan berterusan Bursa Malaysia selepas pelabur-pelabur asing tidak berhenti untuk menarik dana mereka keluar selepas PRU14, keyakinan terhadap TH tidak perlu ditambah lagi kejutan oleh kerajaan PH.
“Langkah ini telah menghakis kepercayaan pencarum-pencarum terhadap TH sehingga ada kemungkinan berlakunya ‘bank run’ ataupun pengeluaran deposit secara beramai-ramai.
“Kalau ini berlaku, maka dana dan aliran tunai TH akan terus berkurangan sehingga kestabilan TH mungkin terjejas,” katanya.
Menurut Najib, jika pengurusan TH dahulu dan juruaudit-juruaudit TH benar-benar bersalah, sila siasat dan ambil tindakan tetapi jangan politikkan.
“Pada masa ini, kerajaan PH patut menyakinkan pencarum-pencarum TH dan menghentikan kenyataan dan pengumuman yang negatif mengenai TH,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment