3 DIS: Selepas menjual ekuiti konglomerat hospital IHH kepada Mitsui, Jepun, kini PETRONAS mungkin menjadi aset terbaru negara yang akan dijual oleh Kerajaan Pakatan Harapan.
Ini selepas beberapa media antarabangsa melaporkan bahawa menteri-menteri Kerajaan PH sudah memulakan pelan bagi melupuskan 25% ekuiti kerajaan dalam Petronas.
“Tindakan ini akan menjadikan Petronas “kambing hitam” melalui penyenaraian awam di bursa saham, yang dijangka memberi pulangan dana RM200 bilion kepada PH,” kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Katanya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan tidak menafikan langkah menjual ekuiti Petronas “sedang dibincang”.
“Penjualan ekuiti dalam Petronas patut dan mesti dielakkan bagi membolehkan Petronas terus berperanan sebagai rizab dan khazanah negara di masa depan untuk seluruh rakyat Malaysia.
Dan kita sangat tidak bersetuju jika penjualan ini dilakukan,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu dalam kenyataan, Isnin.
Tegasnya, Petronas harus kekal sebagai rizab kepada negeri negeri pengeluar minyak seperti Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak, kata beliau.
Shamsul berkata, Petronas tidak seharusnya dijadikan “bahan dagangan” untuk jual beli bagi keuntungan pihak swasta dan kepentingan syarikat asing.
“Petrol itu memanglah bahan dagangan, tapi bukan Petronas. Petronas adalah sebuah syarikat negara, syarikat kebangsaan yang menjadi lambang kedaulatan negara .. menjual Petronas sama seperti menjual negara ,” katanya.
Menurut Shamsul, tindakan menjual ekuiti Petronas kepada pelabur luar negara bukanlah langkah yang bijak, apa lagi Petronas kini memiliki aset yang sudah melebihi sekali ganda daripada aset asal dan aset wang tunai Petronas sudah melambung kepada RM150 bilion sebelum kerajaan diambilalih oleh PH.
Tambahan pula, dengan Projek RAPID Petronas kini telah beroperasi dengan baik dan Petronas juga akan menikmati pulangan hasil yang lumayan dari pelaburan dalam projek gas di Kanada, status Petronas adalah lebih berdaya maju.
“Kita juga diberitahu kerajaan PH akan memaksa Petronas untuk membayar dividen RM82 bilion kepada mereka tahun ini dan tahun depan.
“Kenapa dibebankan Petronas? Kerajaan PH sepatutnya mencari sumber lain bagi menguruskan masalah kewangan mereka, bukannya membunuh angsa yang bertelor emas yang boleh dimanfaatkan oleh generasi akan datang,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment