Sunday, 30 December 2018

PPBM BELUM BUKTIKAN APA-APA KEPADA ORANG MELAYU SETAKAT INI SETELAH BERKUASA SELAMA 7 BULAN, MELAINKAN PRESIDENNYA SEDANG DIHANTU ‘UMNO’ KETIKA UCAPAN PERASMIAN SAYAP PPBM.

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melihat selaku Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yasin yang diberikan ruang berucap semasa perasmian Perhimpunan Agung Armada dan Srikandinya semalam tidak banyak yang disentuh dan utarakan.
Katanya PPBM belum membuktikan apa-apa kepada orang Melayu dan Malaysia, selain menumpang tuah Pakatan Harapan (PH) dalam menumbangkan Barisan Nasional (BN), yang kini semakin lapuk untuk menjadi modal jajaan seluruh kampung.
Berikut Adalah kenyataan media beliau berkaitan koment terhadap Ucapan Perasmian Sayap PPBM Oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin:
Selaku Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah diberikan ruang berucap semasa perasmian Perhimpunan Agung Armada dan Srikandi PPBM semalam. Tidak banyak yang beliau sentuh dan utarakan.
Pertama, beliau memperuntukkan masa yang lama menjelaskan panjang lebar tentang pandangannya terhadap UMNO.
Beliau menyentuh, antara lain, kerjasama UMNO dan PAS dan kenapa orang Melayu harus menolaknya. Sangat terang lagi bersuluh bahawa UMNO sangat menghantui Tan Sri Muhyiddin dan BERSATU. Sebagai Presiden BERSATU, beliau sepatutnya memberikan pedoman kepada pergerakan pemuda dan wanita tentang bagaimana bangsa Melayu dan Malaysia ini ingin mereka bawa. Lebih-lebih lagi ini merupakan forum terbaik untuk beliau berhadapan dengan penggerak muda BERSATU selepas kemenangan dalam PRU-14.
Sebaliknya, perihal UMNO yang dibicarakan dengan serius dan panjang lebar, biarpun UMNO berada pada kedudukan paling susut dalam hayatnya.
Maknanya, jika UMNO yang berada dalam keadaan sekarang pun terus menghantui beliau, bayangkan jika UMNO ini berjaya kita pulihkan sedikit masa lagi. Barangkali tidak mustahil PPBM akan terpaksa mengadakan perhimpunan khas hanya untuk berbicara tentang UMNO.

Kedua, UMNO menolak tohmahan beliau bahawa kami menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan setelah kalah PRU 14.
UMNO senantiasa konsisten dalam pendiriannya berkaitan Islam dan bangsa Melayu. Semua orang boleh menyemak perkara ini. Tiada pendirian yang berdolak dalih. Tiada pendekatan yang bertukar-tukar. Agenda Melayu, kedudukan Islam dan masa depan terbaik untuk Malaysia yang majmuk adalah 3 mantera utama UMNO, dulu kini dan selamanya.

Akan tetapi, kini ada ancaman sistematik yang bertopengkan ‘kebebasan’ terhadap kepentingan bangsa Melayu dan Islam. Mungkin bukan daripada PPBM sendiri, tetapi rakan-rakannya di dalam PH yang sangat alah dengan sebarang agenda PPBM dan Islam.
Jadi, apabila PPBM tidak mampu berbuat apa-apa melainkan membisu dan menurut sahaja tekanan liberal dalam PH, UMNO sudah pasti tidak akan membutakan mata sahaja terhadap ancaman-ancaman ini. UMNO percaya semua ini lambat laun akan meruntuhkan sistem kehidupan dan norma fabrik masyarakat Melayu, jika tidak dikawal dan disanggah dari awal.
Inilah yang telah dan akan terus UMNO lakukan. Benar, mungkin ada cara yang kurang berkesan dan tidak lancar. Semua itu harus diperbaiki dan diperkemas. Namun ancaman-ancaman ini bukanlah sebuah cerita dongeng. Masakan sebuah pakatan yang sentiasa berprasangka buruk antara satu sama lain, dan tidak senada dalam menterjemahkan Perlembagaan Persekutuan, boleh menjaga hak, keistimewaan dan membela nasib bangsa Melayu?
UMNO tidak apologetik dalam pendiriannya terhadap kedudukan Islam dan bangsa Melayu. PPBM yang sangat bercelaru, keliru dan buntu. Mereka sangat tidak konsisten dalam ideologi mereka. Sekejap mahu menjadi penyelamat Malaysia. Namun tiada pula ada dasar konkrit yang parti ini ditawarkan. Kemudian mereka adalah juara kesamarataan. Tetapi berpusing-pusing sekitar keperluan mendesak dasar afirmatif. Selepas dikritik kerana tidak serius dengan agenda Bumiputera, kini, mereka adalah pembela agenda Melayu pula.
Sebenarnya PPBM dibangunkan tanpa sebarang pasak ideologi.
Saya mahu bertanya, adakah PPBM malu untuk menyatakan bahawa Melayu masih lagi tuan pada tanah ini? Adakah mereka tidak mampu, untuk membawa naratif Melayu yang lebih progresif dan pada masa yang sama mengakui ketuanan (kedaulatan) Melayu di tanahnya sendiri? Namun yang lebih penting, siapakah Melayu dari kaca mata PPBM? Jadi, mampukah PPBM mendidik bangsa Melayu untuk menjadi tuan (didaulatkan) yang diamanahkan di tanahnya sendiri jika hakikat ketuanan (kedaulatan) itu sendiri pun sukar untuk diakui PPBM?
UMNO telah wujud selama 70 tahun dan hampir kesemua pemimpin PPBM sekarang ini adalah hasil acuan UMNO. Sebahagian besar mereka pernah menjadi sebahagian dari UMNO dan perjuangannya. Perjuangan yang selama ini percaya dengan ketuanan (kedaulatan) Melayu dan hak-hak Melayu. Jika UMNO tidak sederhana dalam pendiriannya, masakan UMNO boleh memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Malaysia selama kami diberi amanah selama 6 dekad lepas.
Ketiga, UMNO tidak pernah mempunyai kerjasama formal dengan PAS.
Kerjasama UMNO bersama PAS hanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan isu yang mempunyai dampak negatif terhadap negara. Ini bukan penggabungan. Ia sekadar lambang kematangan dalam politik. UMNO mempamerkan keupayaannya untuk melihat isu dengan lensa yang lebih besar berbanding hanya berpolitik dalam semua perkara.
Keempat, UMNO adalah pentadbir yang terbukti dan berjasa.
Sepanjang kewujudannya, UMNO membuahkan pelbagai kebaikan kepada bangsa Melayu dan Malaysia. Jutaan kelas menengah Melayu telah wujud melalui keringat UMNO. Malaysia yang moden dan progresif ini, dibidani kelahirannya oleh UMNO. Semua pemimpin PPBM, pernah memimpin UMNO di pelbagai peringkat. Tan Sri Muhyiddin sendiri pun, tidak akan sampai ke tahap ini jika bukan melalui UMNO.
UMNO mengakui beberapa pemimpinnya sedang melalui proses undang-undang. Menghukum UMNO hanya kerana ini bukan sahaja tidak adil malah tidak matang dan tidak wajar.
Kelima, adalah lebih elok untuk UMNO mendahulukan kerjasama strategik bersama PAS dalam hal-hal tertentu, daripada menjadi sahabat kepada DAP seperti PPBM.
Ketika Tan Sri Muhyiddin memperlekeh kerjasama PAS bersama UMNO, beliau sangat sedar dan akur, betapa sukarnya untuk beliau memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam di dalam Kerajaan Pakatan Harapan. PPBM bukan sahaja dilihat oleh parti-parti lain sebagai parti kerdil yang hanya menunggu masa untuk lenyap. Malah, agenda Melayu dan Islam adalah perkara yang dijangkakan mesti ditentang rakan-rakan gabungan mereka.
Saya akui, kerjasama UMNO dan PAS, bukan sahaja tidak formal, malah yang demikian itu bukan juga satu formula politik yang terbaik. Tetapi sekurang-kurangnya, kerjasama ini dapat membawa suara keresahan orang Melayu yang sudah lama terpendam sepanjang tempoh pentadbiran Malaysia Baharu ini.
Bukan sahaja keresahan ini semakin mendalam dan melebar. Lebih malang, PPBM dengan liciknya berhasrat mengukuhkan kedudukan dengan cara paling tidak bermoral – iaitu meraih dan merai lompatan ahli Parlimen dan anggota UMNO untuk memperkuatkannya. Tetapi, seperti yang saya tegaskan sebelum ini, ia adalah strategi yang akan membinasakan PPBM sendiri kerana kami amat arif siapa mereka yang melompat-lompat ini.
Sedarlah, jalan parti ini masih jauh. Pemimpin berpengalamannya semakin dimamah usia dan sibuk bergelut dengan bekas seteru politik mereka yang kini terpaksa duduk semeja dan senyum bersama. Pemimpin mudanya pula tidak berhaluan dan saban hari menimbulkan rasa mual orang Melayu acapkali mereka bersuara. Yang paling penting, akar umbinya masih tidak merasai apa signifikannya parti itu dalam kehidupan mereka.
PPBM belum membuktikan apa-apa kepada orang Melayu dan Malaysia setakat ini, selain menumpang tuah Pakatan Harapan dalam menumbangkan Barisan Nasional, yang kini semakin lapuk untuk menjadi modal jajaan seluruh kampung.
Sesungguhnya, parti anda akan diuji keras atas apa yang anda kata dan laung- laungkan dalam Perhimpunan Agung PPBM ini. Semoga Tuhan memberi kekuatan.

No comments:

Post a Comment