Thursday, 13 December 2018

BENARKAH ZAHID INGIN BERGABUNG DENGAN DAP?


13 DIS: Mutakhir ini UMNO dilihat cukup kuat bergegar.
Hentaman yang berlaku bukan sahaja menyinggah mengenai parti tetapi juga terkena langsung kepada Dato Seri Dr. Zahid Hamidi, Presiden UMNO yang ke 8. 
Seorang Presiden yang ditakdirkan untuk menakhodai parti tertua dalam era sebagai pembangkang.
Era yang tidak pernah dirasai oleh mana-mana pemimpin dan ahli UMNO sebelum ini dan ini pastinya mengolah pengalaman yang berbeza dalam konteks memimpin dan mengurus parti.
Terbaru, berlegar-legar di alam maya terutamanya dalam kumpulan Whatsapp akan dakwaan bahawa Dato Seri Presiden UMNO ingin membawa UMNO bergabung dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Ia tercetus lantaran daripada perjumpaan antara Dato Seri Nazri Aziz dengan Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO yang dibuat sebenarnya secara tertutup yang dieksploitasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran dan polemik politik yang songsang. 
Sesunguhnya, ia adalah satu lemparan tuduhan yang sungguh berat dan satu tohmahan politik yang cukup keterlaluan.
Sesuatu yang bersifat palsu dan amat jauh daripada kebenaran. 
Terlalu banyak spekulasi yang berlaku berkenaan dengannya dalam sehari dua ini.
Dato Seri Zahid Hamidi tidak pernah menyuarakan sebarang hasrat atau membenarkan sebarang usaha untuk bergabung dengan DAP di mana-mana pentas mahu pun media.
Jauh sekali untuk beliau mengadakan sebarang rundingan politik dengan parti DAP.
UMNO tidak seumpama BERSATU yang boleh dengan secara terbuka bersuka ria dengan DAP.
Laras perjuangan UMNO dengan DAP juga terlalu jauh bezanya.
Jadi, apakah tidak terfikir oleh semua bahawa Dato Seri Zahid itu bukanlah seorang yang mentah dalam politik ?.
Beliau sudah begitu lama dalam politik dan amat tahu sepak terajangnya.
Beliau juga adalah seorang yang cukup kental jiwa Melayu-Islamnya.
Imejnya dalam kalangan bukan Islam bukanlah cantik sangat sebagaimana pemimpin massa yang lain lantaran beliau sering dilabel sebagai sebagai Ultra Melayu Islam. 
Konsistensinya dalam menegakkan wadah Islam dan agenda Melayu terserlah begitu ketara usai beliau di alam menara gading lagi.
Jadi mana mungkin kita boleh mudah tertipu oleh permainan politik yang dijana melalui media social sebegini. 
Allah swt sendiri pernah berpesan melalui surah Al-Hujurat, ayat ke 6 yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”.
Juteru itu, tiada sebarang logik yang boleh untuk mengaitkan Dato Seri Presiden UMNO dengan agenda untuk bersama dengan DAP sebagaimana berita yang tersiar di alam maya sekarang ini.
Berilah sedikit ruang dan bersamalah beliau menyusun semula dan mengorak langkah bagi  memacu semula UMNO sebagaimana mandat yang diberikan oleh perwakilan sehingga 2021. 
Dato Dr Ahmad Masrizal Muhammad
Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional

No comments:

Post a Comment