KUALA LUMPUR, 16 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kebimbangan jika terus berlaku Ahli Parlimen yang menyeberangi dan menyokong Kerajaan Pakatan Harapan (PH) maka mereka bakal mendapat majoriti dua pertiga dalam parlimen dan memiliki kuasa untuk membuat pindaan apa jua perkara dan fasal dalam perlembagaan negara.
Tegasnya, harus diingat kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan ICERD tidak boleh diratifikasikan ialah kerana mereka tidak mempunyai cukup majoriti dua pertiga untuk membuat pindaan kepada beberapa perkara dalam perlembagaan sehingga membolehkan mereka meratifikasikan ICERD.
“ICERD senang sahaja diratifikasikan apabila majoriti dua pertiga dimiliki mereka dari hasil Ahli Parlimen UMNO yang lompat ini.
“Jika semua ini berlaku, suka saya nyatakan bahawa Ahli-ahli Parlimen yang lompat inilah yang menjadi punca kepada kejayaan Kerajaan PH dalam usaha meratifikasikan ICERD kelak. Tidak cukup dengan itu, bukan sekadar ICERD boleh diratifikasikan malah Perkara 153 dan Perkara 3 juga boleh dipinda apabila Kerajaan PH mendapat majoriti dua pertiga dalam parlimen.
“Apa lagi yang boleh kita katakan bila akhir ini hanya cerita ‘Lompat Parti’ mengambil tempat dalam semua berita utama termasuk media sosial,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera adalah antara pemimpin yang diminta bergegas ke Sabah untuk mendengar sendiri permasalahan sehingga keputusan keluar UMNO diambil.
“Selama dua hari bertemu dengan pelbagai lapisan pemimpin dan rakyat di negeri Sabah dan apa yang mereka luahkan ialah rasa kecewa yang amat sangat dengan keputusan lompat parti dari kalangan pemimpin mereka.
“Ada yang menyuarakan supaya pemimpin yang melompat parti untuk mengosongkan kerusi yang disandang agar rakyat boleh menghukum pemimpin lompat ini dengan memastikan kekalahan mereka.
“Apabila menang atas tiket UMNO maka tidak ada sebab untuk kamu menyertai parti lain kerana kemenangan kamu atas sokongan kepada UMNO bukan batang tubuh kamu; ujar rakyat dibawah.”
Katanya, rakyat merasakan mereka dikhianati apabila amanah yang diberikan disalahgunakan kerana seharusnya seorang Ahli Parlimen atau ADUN yang dipilih mewakili rakyat dikawasan mereka dan membawa permasalahan dalam kawasan mereka untuk diberikan perhatian oleh kerajaan pemerintah dan berkhidmat kepada pengundi dan bukannya membuat keputusan hanya untuk kepuasan dan kepentingan diri sendiri.
Soalnya, apa kedudukan kita ketika itu dan apakah kita hanya mampu melihat pelbagai bentuk kesamarataan bakal dibangkitkan?
“Tiada lagi keistimewaan yang dijamin perlembagaan terhadap orang melayu.Tiada lagi kuota untuk bumiputera dalam apa bentuk bantuan dari kerajaan. Islam bukan lagi agama rasmi kerajaan walau ia menjadi agama majoriti rakyat.
“Apakah yang mampu kita lakukan apabila segala kuasa penuh menggubal dan meminda perkara dalam perlembagaan menjadi milik mereka kaum minoriti?
“Apakah kita mahu menjadi sebuah negara yang mengamalkan Dasar Apartied apabila segala dasar kerajaan dan pemerintahan dari kalangan minoriti terhadap kita majoriti Islam Melayu?”
Katanya, Ahli Parlimen yang melompat ini bukan sahaja menjadi pembelot kepada pengundi dalam kawasan mereka tetapi mereka ini juga boleh dikatakan sebagai pembelot kepada agama Islam dan orang Melayu keseluruhannya.
“Harapan saya supaya Ahli Parlimen yang masih kekal bersama UMNO seramai 37 orang hari ini tidak membuat keputusan yang membangkitkan kemarahan rakyat. Tidak membuat keputusan yang akhirnya menguntungkan musuh agama dan bangsa kita yang gembira dan bertepuk tangan melihat keberantakan kita hari ini.
“Nasihat saya kepada rakan yang dah melompat keluar UMNO supaya kembali ke pangkal jalan dan masih tidak terlambat untuk anda membetulkan keadaan dan kembali menyatukan hati kita demi perjuangan yang telah lama kita bersama. Kami sentiasa terbuka untuk bersama selagi ianya sebuah perjuangan untuk rakyat dan agama bangsa.
“Saya yakin bahawa tidak ada apa yang istimewa untuk dicari disebelah sana selain hanya bakal diperalatkan untuk memusnahkan Islam, Melayu dan Bumiputera. Jiwa seorang pemimpin seharusnya cekal dan tidak sewenangnya boleh dibolak-balik dengan janji manis yang belum pasti,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment