Sunday 2 December 2018

KDN SERAH SIASATAN TERHADAP WAYTHA MOORTHY DAN GANABATIRAU KEPADA POLIS.

2 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy dan Exco Kerajaan Negeri Selangor V. Ganabatirau.
Ia susulan kenyataan dikatakan berbaur hasutan dan perkauman yang dikeluarkan kedua-dua ahli politik berkenaan berhubung isu kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada Isnin lepas.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata polis akan menyiasat sesiapa yang mengeluarkan kenyataan tidak benar.
“Jika dia ada keluar kenyataan, tengoklah sama ada benar ia berbaur perkauman dan seumpamanya.
“Kita tengok kenyataan itu betul atau tidak, kalau ada asas-asas yang kukuh maka polis boleh bertindak,” katanya kepada media selepas melawat kuil berkenaan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai kemusykilan sesetengah pihak mengapa masih belum ada tindakan terhadap Waytha Moorthy dan Ganabatirau sedangkan polis telah menahan pengendali laman blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang semalam kerana membuat kenyataan berbaur perkauman dan hasutan.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor memaklumkan telah membuka empat kertas siasatan dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman susulan laporan polis yang diterima mengenai penularan berita di media sosial.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut melahirkan rasa kecewa terhadap penularan laporan berita di India yang menuduh perusuh bertindak ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau berharap rakyat tidak terpengaruh dengan tuduhan yang dikeluarkan kerana ia palsu dan tidak tepat.
Semalam, kerajaan India menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani insiden di Kuil Sri Maha Mariamman serta tidak akan mencampuri urusan negara ini.
Menurut Wisma Putra, jaminan itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Shri Mridul Kumar dalam perbincangan dengan Kementerian Luar susulan memorandum yang diserahkan oleh Presiden Hindu People’s Party, Arjun Sampth kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai pada Rabu lepas.
Memorandum daripada parti yang juga dikenali sebagai Hindu Makkal Katchi itu mengutuk insiden terbabit dan mendakwa kerajaan bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden itu.

No comments:

Post a Comment