Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman Presiden PAN, Mohammad atau Mat Sabu terhadap Utusan Malaysia (M) Berhad pada 2 Mei lalu begitu signifikan kepada sejarah negara.
Hakim Zakaria Sam (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam keputusannya menyatakan ketiga-tiga artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 27 dan 28 Ogos 2011 berhubung ucapan Mat Sabu tentang serangan Bukit Kepong tidak berunsur fitnah. Tegasnya, ucapan tersebut tidak boleh dibuat tanpa mendapat kritikan (media). Mat Sabu antara lain dalam ucapannya pada ceramah di Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011 mendakwa Mat Indera yang mengetuai serangan di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 adalah pejuang kemerdekaan tanah air. Kenyataan Mat Sabu itu menerima bantahan banyak pihak di seluruh negara.
Kes yang dibicarakan pada Oktober 2012 berakhir kini dengan hakikat bahawa Parti Komunis Malaya (PKM) termasuk Mat Indera adalah pengganas dan musuh negara, bukannya wira.
Seorang sarjana yang pakar dalam sejarah PKM iaitu Dr. Karl Hack dari United Kingdom mengesahkan Mat Indera adalah pemimpin Melayu dalam PKM. Perspektif Karl begitu menyakinkan dan Mat Indera bukan pejuang bahkan pengkhianat negara.
Ikhtibar daripada semua ini adalah pemimpin politik perlu berhati-hati agar tidak memanupulasi fakta sejarah untuk kepentingan politik yang sempit. Apatah lagi ia membawa implikasi besar kepada soal pengorbanan pasukan keselamatan, yang selama ini diiktiraf dan diperakukan. Puluhan ribu meliputi tentera, polis dan orang awam telah gugur angkara PKM dari dekad 40an hingga 80an.
Dalam kes tersebut, banyak pihak kagum dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor yang tampil secara sukarela sebagai saksi Utusan Melayu demi maruah pasukan keselamatan. Walaupun beliau tiada kaitan sama sekali dengan kes tersebut. Tan Sri Abdul Rahim Noor memilih berdepan dengan Mat Sabu dalam perbicaraan mahkamah di Pulau Pinang. Beliau sanggup ulang-alik memandu sendiri kereta dari ibu negara pada usia yang lanjut.Hujah-hujah beliau berhubung ancaman PKM begitu kukuh apatah lagi pernah mengetuai Cawangan Khas PDRM.
Istimewa tentang Abdul Rahim, beliau mempunyai pemikiran serta ingatan yang tajam umpama arkib bergerak. Lagi hebat sifat keberanian dan keyakinannya. Antara kata-kata Abdul Rahim sebelum perbicaraan:"Saya tidak akan biarkan Utusan bersendirian hadapi Mat Sabu. Utusan pertahan sejarah dan maruah pasukan keselamatan, saya tidak boleh hanya menjadi pemerhati dari jauh".
Peranan Abdul Rahim dan Karl (selain laporan Utusan yang bertanggungjawab) membawa kejayaan dalam kes tersebut dan disifatkan kemenangan moral buat pasukan keselamatan. Kami berpendapat, tokoh seperti Abdul Rahim adalah wira sejati. Sama ada ketika berkhidmat mahupun selepas berara, obor polis dan jati dirinya tidak sedikit pun kendur apalagi berubah.
Terima kasih dan tabik Tan Sri.
No comments:
Post a Comment