Kami pernah ucapkan tahniah kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang kerana dapat menjinakkan musuh utamanya Dr. Mahathir Mohamad.
Kali ini kami ulangi lagi ucapan tahniah itu kerana Kit Siang konsisten dalam perjuangan DAP sementara Dr. Mahathir kian hanyut daripada prinsipnya pada hujung usianya.
Strategi DAP untuk mempergunakan pemimpin Melayu yang lemah bagi memudaratkan kepada politik Melayu berhasil. Ini adalah kejayaan terbesar Kit Siang menundukkan pemimpin Melayu itu yang berdekad lamanya menjijikkan DAP, yang dilabel musuh Islam dan Melayu.
Ketika Dr. Mahathir berubah watak menjadi si Kitul moden, baru-baru ini Kit Siang melaungkan semula konsep Malaysian Malaysia yang menuntut hak kesamarataan.
Malaysian Malaysia yang diperjuangkan lebih 50 tahun adalah antara agenda agung DAP yang selama ini ditentang oleh Dr. Mahathir (kerana tidak mengambil kira sejarah dan realiti negara ini). Namun kini Dr. Mahathir membisu sejak bersekongkol dengan DAP dan dijadikan alat untuk meraih undi Melayu. Mereka memerlukan Dr. Mahathir bukan kerana mengiktiraf kepimpinan beliau tetapi untuk melaksanakan strategi DAP, iaitu ‘Use Malays to screw Malays’.
Sebagaimana DAP menentang pelbagai hal menyentuh kepentingan Islam termasuk pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah, Dr. Mahathir tidak lagi berani bersuara, bagai harimau tanpa taring.
Kami boleh menjangkakan Perlembagaan dan sejarah negara ini akan ditulis semula suatu hari nanti oleh DAP kerana sudah banyak petunjuk ke arah itu. Ia hanya memerlukan landasan baharu iaitu apabila Pakatan Harapan memerintah nanti.
Jika diumpamakan permainan catur, Kit Siang sudah menumpaskan Dr. Mahathir yang kini bukan sahaja menghina dirinya sendiri, malah bangsanya sendiri iaitu bangsa Melayu.
Mengapa jadi begitu, jawapannya Mahathir itu sendiri seorang ‘Melayu yang mudah lupa’.
No comments:
Post a Comment