Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor termasuklah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali begitu hebat bercakap soal integriti. Apabila ada sahaja isu yang kononnya didakwa dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional (BN), mereka akan menyerang habis-habisan, segala platform digunakan bagi mempengaruhi rakyat mempercayai dakyah mereka.
Bagaimanpun sikap mereka berubah apabila tercetusnya isu penjualan tanah di Ijok. Terlalu banyak persoalan yang tidak dijawab oleh kerajaan negeri, Mohamed Azmin pula terus berdolak dalik dengan membiarkan sahaja pemimpin lain menjawab bagi pihaknya.
Tetapi kenyataan yang mereka berikan bukannya menjawab persoalan dibangkitkan sebaliknya lebih banyak menimbulkan kekeliruan. Oleh itu, Mohamed Azmin perlu menjadi pemimpin negeri yang bertanggungjawab, berani dan matang.
Isu penjualan tanah di Ijok itu melibatkan hak rakyat. Kalau benar kononya memperjuangkan hak rakyat, mana pergi baki wang hasil jualan tanah tersebut berjumlah RM 750 juta yang dijual kepada pemaju? Apakah rasionalnya baki tanah hak peneroka yang difahamkan diambil oleh Menteri Besar Selangor Diperbadankan? Mengapakah peneroka-peneroka dianaktirikan manakala pemaju pula diutamakan? Sudah tentu ada udang di sebalik batu.
Apa yang menjadi tanda tanya di mana perginya kelantangan dan keberanian pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli? Selama ini mereka paling ke hadapan kononnya menjadi penegak kebenaran dan menentang sebarang penyelewengan.
Kononnya demi menjaga kepentingan rakyat, mereka akan menyerang kerajaan BN habis-habisan jika ada isu yang pada pandangan mereka berkaitan soal ketelusan dan integriti tetapi kenapakah dalam soal kes penjualan tanah di Ijok, Tony Pua dan Rafizi diam seribu bahasa? Atau apakah kedua-dua mereka takut segala pekung keburukan pentadbiran Mohamed Azmin akan terdedah?
Itulah sikap double standard yang ada kepada pemimpin-pemimpin pembangkang sejak dahulu lagi. Mereka hanya membangkit isu yang difikirkan boleh memberi manfaat politik kepada mereka sahaja, jika isu itu dilihat boleh ‘memakan diri’ soal menegakkan kebenaran dan menentang penyelewengan entah ke mana.
Dalam isu penjualan tanah Ijok tersebut, jika Mohamed Azmin berada di pihak yang benar, beliau sepatutnya tidak takut untuk menjelaskan secara terperinci apa sebenarnya berlaku.
Rakyat hanya mahu mengetahui kedudukan sebenar bukannya mahu mendengar pelbagai kenyataan berunsur politik yang seolah-olah mahu menyembunyikan sesuatu. Tetapi kami percaya, seperti isu-isu sebelum ini melibatkan kepentingan rakyat, Mohamed Azmin akan mengamalkan pendekatan mendiamkan diri atau paling tidakpun menuding jari menyalahkan orang lain.
Sikap Mohamed Azmin dalam menangani isu penjualan tanah berkenaan sudah tentulah mengecewakan banyak pihak khususnya peneroka-peneroka yang terlibat. Selama ini kerajaan negeri Selangor begitu berbangga dengan slogan kononnya mereka memperjuangkan nasib rakyat tetapi kenapakah dalam isu tersebut keuntungan pemaju yang diutamakan?
Sebenarnya kami melihat dari semasa ke semasa, kepimpinan Mohamed Azmin semakin angkuh. Beliau dan sekutunya seperti DAP begitu yakin rakyat tidak akan menolak mereka dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun berdasarkan maklumat yang kami terima, rakyat Selangor semakin bosan dengan corak pemerintahan beliau. Mereka melihat beliau tidak sesuai lagi untuk memimpin negeri tersebut memandangkan kepentingan rakyat semakin tidak dipedulikan.
Mohamed Azmin gagal menangani isu yang berlaku di Selangor walaupun ia melibatkan kepentingan rakyat dan masa depan negeri yang dianggap termaju di negara ini. Malang sekali, beliau kekal dengan pendekatan politik berdolak dalik, takut berhadapan kenyataan dan tidak berani menyatakan kebenaran.
Lebih menyedihkan segala janji dibuat oleh kerajaan negeri ketika kempen pilihan raya umum lalu banyak yang bukan sahaja tidak ditunaikan malah ada yang dimungkiri.
Ketika ini boleh dikatakan hampir semua masalah rakyat Selangor sedang ditangani oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN walaupun sesetengah kawasan itu bukan diwakili oleh wakil rakyat BN.
Namun pemimpin-pemimpin BN ikhlas berjuang untuk rakyat. Kalaulah kerajaan negeri sudah tidak lagi diletakkan harapan untuk membantu mereka, siapa lagi boleh membantu.
Menyedari keadaan itulah, pemimpin-pemimpin BN terpaksa ‘campur tangan’. Bantuan dan pertolongan diberikan melalui pelbagai program yang mensejahterakan rakyat, tetapi apa yang pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan PAS yang memerintah negeri lakukan? Mereka tidak membuat apa-apa. Mereka sibuk mahu ‘menyerang’ kerajaan BN berbanding menguruskan keadaan di Selangor yang semakin berantakan.
Oleh itu, kami berharap rakyat Selangor akan menilai sebaik-baiknya corak pentadbiran kerajaan negeri dan tingkah laku Mohamed Azmin yang ternyata bukanlah pejuang tulen ‘peduli rakyat’ sepertimana yang di war-warkan di bil board kerajaan negeri Selangor di seluruh pelusuk negeri.
Mereka hanya mempengaruhi serta menghasut rakyat untuk mendapat undi dan meraih kuasa tetapi apabila rakyat berhadapan dengan masalah mereka akan menuding jari menyalahkan orang lain dan memberi seribu satu alasan, manakala isu berkaitan integriti pula biarpun benar-benar berlaku dianggap mainan politik BN.
Kalau beginilah keadaannya, apakah wajar beliau perlu sekali lagi diberi peluang menjadi Menteri Besar dan Pakatan Harapan diberi terus mandat memerintah Selangor? Justeru, sayangilah Selangor, jangan biarkan negeri ini terus rosak dan berhadapan pelbagai masalah akibat kegagalan mereka mentadbir kerana akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat.
No comments:
Post a Comment