Sunday, 18 March 2018

MAHATHIR MENYALAHKAN ORANG LAIN - MEMAKAN DIRINYA


Apabila Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa polis mendorong beliau memecat bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 1998, ia hanya mengundang sinikal pelbagai pihak. Kami yakin rakyat Malaysia tidak akan percaya dengan satu lagi pencabulan prinsip oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang semakin terdesak.

Tindakan menyalahkan polis adalah tidak bertanggungjawab. Inikah sikap seorang negarawan mahu lepas tangan atas perbuatan silamnya? Sebab itu kami sokong ketegasan bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor dalam reaksinya yang mempersoalkan motif Dr. Mahathir.

Benar kata Rahim, perlantikan dan pemecatan seorang Timbalan Perdana Menteri bukan seperti memetik buah kelapa. Ia ditentukan oleh Perdana Menteri ketika itu dan polis tiada kuasa mengenainya.

Rahim dan seluruh pasukan polis berhak mempertahankan diri dari ditomah Dr. Mahathir. Angkara pemimpin politik, golongan professional seperti polis pula yang menjadi mangsa. Dalam pada itu, beliau menyatakan pemecatan Anwar adalah satu kesilapan.

Begitu juga penahanan para pemimpin DAP di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kami sekadar senyum sambil geleng kepala - apakah itu satu kesilapan besar beliau atau wayang politik untuk meraih sokongan DAP dan PKR. Lebih musykil apabila Dr. Mahathir memohon maaf kepada Anwar atas pendakwaan di mahkamah dan dipenjarakan.

Apakah itu bermakna Anwar tidak meliwat atau Dr. Mahathir yang memfitnah serta berbohong? Tidakkah itu bermakna beliau telah menyalahgunakan kuasa, mempersendakan mahkamah dan mencabuli demokrasi.

Persoalan lain, kepada berapa ramai lagi akan beliau sepatutnya memohon maaf atas gaya pemerintahannya - matlamat menghalalkan cara?


No comments:

Post a Comment