Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) terus dijadikan modal utama Pakatan Harapan dikuasai DAP menyerang kerajaan secara bertubi-tubi seolah-olah ketandusan modal lain untuk dijadikan bahan kempen politik mereka.
Terbaharu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memfailkan usul di Dewan Rakyat untuk menolak laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai siasatan ke atas 1MDB dan menuntut siasatan lebih komprehensif.
Motif Kit Siang yang mahu laporan tersebut ditolak menimbulkan persoalan adakah Ahli Parlimen Gelang Patah itu tidak mempercayai kredibiliti rakan dalam partinya sendiri iaitu Dr. Tan Seng Giaw yang merupakan Naib Pengerusi PAC.
Adakah Kit Siang ‘panas punggung’ apabila Seng Giaw sebagai bekas Naib Presiden DAP berani menyatakan kebenaran mengenai 1MDB yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat secara langsung dalam kelemahan pengurusan 1MDB itu.
Atau mungkin hanya kerana apa yang dikatakan Seng Giaw itu tidak selari dengan kemahuan Kit Siang, maka laporan PAC itu perlu ditolak. Dalam hal ini siapakah Kit Siang? Adakah kuasa beliau mengatasi kuasa Speaker Parlimen? Atau suara beliau seorang lebih berkuasa daripada suara 14 orang AJK PAC itu?
Kit Siang perlu ingat, laporan penuh mengenai 1MDB yang dibentangkan PAC sudah dipersetujui sebulat suara serta secara konsensus ketika mesyuarat penyediaan laporan itu diadakan pada 28 Mac 2016.
Malah laporan itu ditandatangani 14 anggota PAC terdiri daripada sembilan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), manakala lima daripada pembangkang.
Lima anggota PAC daripada pembangkang itu termasuklah DAP iaitu Seng Giaw dan Tony Pua turut menandatangan laporan penuh PAC yang mengesahkan tiada wang RM42 bilion hilang sebagaimana didakwa pelbagai pihak (terutama Dr. Mahathir) serta tiada penyaluran wang 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri berjumlah RM2.6 bilion.
Cuma di sini Seng Giaw memilih untuk bersikap jujur, manakala Tony Pua pula seperti yang dikatakan Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin memilih untuk mejadi oportunis dengan menyerang kembali 1MDB walaupun selepas menandatangani laporan PAC tersebut. Pada kaca mata umum, beliau bukan sahaja seorang oportunis, malah seorang yang tidak berprinsip, tidak jujur serta mempunyai niat jahat demi kepentingan politik untuk menjatuhkan pihak lain.
Sepatutnya, Kit Siang sebagai wakil rakyat kanan dalam Dewan Rakyat tidak perlu membazirkan masa Dewan untuk membahaskan mengenai 1MDB yang telah dijelaskan secara telus menerusi laporan PAC. Banyak lagi perkara yang memanafaatkan rakyat sepatut dibincangkan bukan hanya 1MDB.
Sama ada Kit Siang sengaja buat-buat tidak faham mengenai 1MDB atau sebenarnya mahu menjadikan 1MDB sebagai ‘kambing hitam’ bagi megaburi mata rakyat mengenai kemelut yang sedang melanda Pakatan Harapan pada masa ini.
Banyak lagi kekalutan yang menyelubungi Pakatan Harapan yang perlu ditangani, seeloknya Kit Siang selesaikan dahulu isu rakan sekutunya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu bertanding menggunakan tiket DAP.
Boleh atau tidak? Pastinya Dr. Mahathir sendiri sedang ternanti-nanti sama ada beliau boleh bertanding atas tiket DAP - parti yang pernah dituduhnya sebagai rasis walaupun dinafikan berulang kali oleh Kit Siang.
Memandangkan beliau dilihat kononnya amat mengetahui serta sudah banyak kali mewar-warkannya sejak tiga tahun fitnah 1MDB itu didedahkan, maka Kit Siang atau Pakatan Harapan dengan itu dicabar untuk membuktikannya (dengan bukti sahih) di mahkamah keadilan negara ini sebelum terbubarnya Parlimen pada PRU-14. Kegagalan beliau berbuat demikian selepas tempoh itu, Kit Siang harus disiasat oleh pihak berkuasa atas cubaan menyebar ‘berita palsu’ untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Jika terbukti bersalah, beliau harus dikenakan tindakan di bawah undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Akta 2012 (SO(SM)A 2012) di mana dalam salah satu peruntukan dalam akta tersebut menyebut iaitu,”kesalahan untuk mendapatkan perubahan, selain cara yang sah (iaitu pilihan raya), apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang”.
No comments:
Post a Comment