Skandal tanah di Ijok sejak awal-awal lagi sudah ternampak ada banyak tidak kena dengan tindakan terges-gesa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyelesaikan isu itu diluar mahkamah tanpa menunggu perbicaraan di Mahkamah Persekutuan, tetapi seperti biasa Menteri Besar tersebut tetap tidak mengakuinya.
Walaupun amat meragukan dan turut dipersoalkan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang tentunya lebih tahu perjalanan sebenar isu tanah Ijok kerana beliaulah yang merampas dan mempertahankannya di mahkamah, kepimpinan Mohamed Azmin tetap menganggapnya sebagai langkah penyelesaian menang-menang.
Sehingga kini, sukar untuk sesiapa pun ‘hadam’ maksud menang-menang tersebut. Apakah dengan tindakan Mohamed Azmin melepaskan semula tanah kerajaan negeri itu kepada dua syarikat bermasalah, LCBN Development Sdn. Bhd. serta Mujur Zaman Sdn. Bhd. yang berstatus syarikat RM2 dan tidak aktif itu boleh ditakrifkan sebagai menang-menang.
Atau apakah dengan membenarkan LCBN Development dan Mujur Zaman menjual semula tanah itu kepada syarikat yang didakwa ‘berwibawa’ pada harga pasaran RM1.18 bilion, tetapi cuma membayar pampasan pada harga lama kepada 981 peneroka, iaitu melibatkan kos RM421 juta itu dianggap menang-menang dalam kotak pemikiran Mohamed Azmin?
Jika itulah gambaran menang-menang Mohamed Azmin, siapa sahaja dapat mecongak bahawa pihak yang mengaut keuntungan terbesar ialah LCBN Development dan Mujur Zaman kerana masih memiliki baki RM757 juta hak peneroka yang sehingga ini tidak diketahui ke mana ia dibelanjakan atau kepada siapa wang tersebut disalurkan.
Namun, apa yang pasti dengan penahanan enam individu termasuk dua bergelar Datuk semalam, di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor, ternyata istilah menang-menang yang digunakan Mohamed Azmin dalam mewajarkan penyelesaian di luar mahkamah itu, hanyalah usaha terdesak untuk menutup skandal tersebut.
Ini kerana ia membongkar kepada cerita kronisme yang barangkali cuba disembunyikan kerajaan negeri serta pihak berkepentingan di sebalik penjualan tanah tersebut kerana meskipun baru di peringkat siasatan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), kenapa sebahgian daripada wang tersebut disalurkan kepada syarikat tidak berkaitan amat mengejutkan.
Kini semuanya terletak kepada Mohamed Azmin. Beliau perlu segera tampil untuk menjelaskan persoalan ini dan bukan lagi menggunakan taktik lapuk menuding jari kepada pihak lain atau menyalahkan SPRM kerana jika benar beliau mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbirannya, Mohamed Azmin perlu berani berdepan dengan siasatan pihak bekuasa.
No comments:
Post a Comment