Monday, 5 March 2018

PKR & DAP TAMAK KERUSI - PPBM SELANGOR.


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor kecewa dengan sikap tamak rakan komponennya dalam pakatan pembangkang apabila enggan bertolak ansur berhubung pengagihan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin, berkata PKR dan DAP enggan berunding untuk melepaskan kerusi disandang mereka, namun pada masa sama mahu bertanding di 12 kerusi milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
“PKR mahu kekalkan 14 kerusi DUN yang dimenanginya pada PRU-13 dan begitu juga DAP kekal pertahankan 15 kerusi DUN yang dimenanginya. PAN juga sudah ada dua kerusi selepas dua ADUN PAS keluar menyertai PAN.
“Kalau PKR dan DAP mahukan kerusi lagi, apa yang tinggal untuk PPBM?. Ia tidak menjadi isu jika kita faham PPBM ditubuhkan sebagai pengganti kepada UMNO. Ini tidak, PKR dan DAP pun berebut mahu bertanding kerusi yang dimenangi BN,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bilangan kerusi DUN Selangor yang sudah dimuktamadkan sebagai milik PPBM, Sallehuddin berkata, sehingga kini belum ada satu pun kerusi yang akan ditandingi parti itu.
“Mesyuarat khas PH pada Rabu dan Khamis lalu tidak mencapai sebarang kata putus. Kita juga belum dimaklumkan tarikh baharu mesyuarat untuk bincangkan perkara ini. Apa pun, kita tunggu perkembangannya nanti,” katanya.
BH Online sebelum ini melaporkan, mesyuarat khas PH Selangor bagi mengagihkan kerusi DUN masih gagal mencapai kata sepakat walaupun sudah dua hari diadakan.
Menurut sumber, berdasarkan keputusan awal, PKR dikatakan akan bertanding 19 kerusi DUN, DAP (18), PPBM (10), dan PAN (9).
PPBM Selangor turut menolak kenyataan Setiausaha PH negeri, Zuraida Kamarudin, yang berkata, mesyuarat khas berkenaan sudah berjaya menyelesaikan pengagihan 36 kerusi DUN di negeri ini.
Pada PRU-13, BN menang 12 kerusi iaitu DUN Sungai Burong, Jeram, Kuang, Semenyih, Permatang, Bukit Malawati, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Kota Damansara dan Dengkil.
PAN pula konsisten dengan pendirian mahu bertanding kerusi DUN disandang PAS iaitu Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat, Sabak, Gombak Setia, Bangi, Seri Serdang, Selat Klang, Sijangkang, Morib dan Hulu Klang.
ADUN Hulu Klang, Saari Sungib, dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin bagaimanapun keluar PAS untuk menyertai PAN.
Ketika ini, DAP menyandang 14 kerusi DUN, PKR (13), PAS (13), BN (12) dan PAN (2) dan Bebas (2).
Dua Bebas ialah ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan ADUN Teluk Datuk, Loh Chee Heng.


No comments:

Post a Comment