24 SEPT: UMNO telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Datuk Mohd Sakri Arifin dan empat yang lain bagi menuntut RM116,700,000.00 milik parti itu yang disita pihak berkuasa tersebut.
Peguam UMNO, Datuk Hariharan Tara Singh dalam satu kenyataan Isnin berkata, mahkamah telah menetapkan 15 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes.
“Pada 21.9.2018, atas arahan anak guam kami, kami telah memfailkan writ bertarikh 21.9.2018 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 20.9.2018 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui guaman sivil no. WA-21NCvC-78-09/2018 (“Saman tersebut”) terhadap pegawai serbuan iaitu Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis, Dato’ Mohd Sakri Bin Arifin dan 4 yang lain untuk menuntut, antara lain, jumlah yang telah didakwa disita sebanyak RM116,700,000.00 oleh Polis Diraja Malaysia (“PDRM”) yang dimiliki oleh UMNO.
“Mahkamah telah menetapkan tarikh 15.10.2018 untuk Pengurusan Kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Puan Rumaizah Baharom.
“Kami juga pada 21.9.2018 telah menyerahkan Writ bertarikh 21.9.2018 dan Pernyataan Tuntutan bertarikh 20.9.2018 kepada kesemua Defendan.
Defendan-Defendan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penyerahan Writ hendaklah menyebabkan suatu kehadiran dimasukkan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
UMNO sebelum ini pernah meminta polis memulangkan baki sumbangan kempen dan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dirampas pihak berkuasa terbabit.
Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, dana itu amat diperlukan dalam proses UMNO membina semula parti.
Wang tersebut didakwa sebagai baki sumbangan kempen dan dana parti dirampas oleh pihak polis semasa dalam proses ia dipindahkan kepada kepemimpinan baru UMNO selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
No comments:
Post a Comment