Sunday 23 September 2018

SUDAH TIBA MASA PH MENGAKUI MENIPU SATU MALAYSIA


Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memerli Menteri Kewangan, Lim Guan Eng susulan kenyataannya yang mengatakan ekonomi Malaysia masih kukuh.

Menerusi posting di Facebook, Najib menyindir Guan Eng dengan mengatakan beliau terkejut membaca kenyataan tersebut.
“Saya tersangat ‘terkejut’ membaca kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini yang berkata bahawa ekonomi Malaysia masih kukuh malah beliau turut berikan 8 sebab.
“Sebelum PRU14, tiada sekali pun dari mana-mana pemimpin Pakatan Harapan (PH) mengakui bahawa ekonomi Malaysia adalah dalam keadaan yang kukuh dan baik. Tidak sekali pun.
“Yang ada hanyalah Guan Eng yang memuji ekonomi Pulau Pinang kukuh tetapi pada masa yang sama menuduh Malaysia akan ‘bankrap’, rakyat menganggur walaupun Pulau Pinang masih sebahagian dari Malaysia dan bukan negara asing pun,” kata Najib.
Malah katanya, beliau juga masih ingat pegawai khas Guan Eng iaitu Tony Pua pernah mengeluarkan kenyataan media dua tahun dahulu kononnya Malaysia sudah hilang daya saing dan tiada lagi negara asing hendak mengimport produk hasil Malaysia biarpun eksport negara naik berpuluh peratus setiap bulan pada masa itu.
Justeru tegas Najib, sudah sampai masanya untuk pemimpin PH mengakui bahawa mereka telah menipu satu Malaysia dan mengakui hakikat bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mewariskan sebuah negara dengan ekonomi yang kuat dan kukuh dengan kadar pertumbuhan KDNK yang antara tertinggi di dunia kepada kerajaan PH.
“Jika ekonomi Malaysia akan terus kukuh pada masa atau tidak kini bergantung sepenuhnya pada pengendalian Guan Eng dan kerajaan PH.
“Kita doakan yang terbaik,” katanya.

No comments:

Post a Comment