Sunday 9 September 2018

SHAFEE ABDULLAH DEDAH DR MAHATHIR DESAK NAJIB MELANTIK DIA SEBAGAI PENDAKWA RAYA KES LIWAT ANWAR

Gempar…Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan dia dilantik untuk mengetuai pendakwaan dalam rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pensabitan liwat pada 2015 atas gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana tidak meyakini kecekapan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam terkenal itu membuat pendedahan tersebut dalam kenyataan hari ini September 08, Jumaat 2018, menjawab afidavit seorang pegawai di AGC yang didedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 07, Khamis 2018.
Shafee menceritakan latar belakang kepada pelantikan ad hoc tersebut, 2 hari selepas Siti Rahayu Mohd Mumazaini, 34, mengeluarkan afidavit mendakwa 2 cek bernilai RM9.5 juta dikeluarkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kepada peguam itu.
“Najib tidak berminat dengan idea melantik saya sebagai pendakwa melalui FIAT untuk rayuan itu kerana tidak mahu menyinggung perasaan peguam negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail. Malah, dia amat keberatan.
“Bagaimanapun, Dr Mahathir yang bertegas mahu saya dilantik sebagai pendakwaraya khas dalam rayuan Anwar kerana tidak yakin AGC boleh menguruskan rayuan itu dengan cekap,” katanya.
Shafee berkata ia mungkin kerana AGC kalah dalam kes Liwat I di Mahkamah Persekutuan dan kes Liwat II di Mahkamah Tinggi.
Menurut peguam itu, dia dipanggil menghadap Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya sekitar Jun atau Julai 2013 melalui seorang peguam, Matthias Chang.
“Kemudian, saya mendapat tahu Dr Mahathir berjaya memujuk Najib untuk meyakinkan peguam negara melantik saya melalui FIAT sebagai pendakwaraya khas dalam rayuan itu. Saya diberitahu perkara ini oleh Dr Mahathir sendiri selepas Najib meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana.
“Saya mendapat tahu daripada Matthias bahawa pelantikan saya sebagai pendakwaraya khas sebahagian daripada 6 tuntutan Dr Mahathir kepada Najib dalam mesyuarat itu, yang jika tidak, dia akan menentang Najib,” katanya lagi.
Shafee berkata beberapa hari selepas itu dia dimaklumkan oleh pejabat Dr Mahathir dan Pejabat Perdana Menteri untuk bertemu Gani bagi tujuan pelantikan itu.
“Saya bertemu Gani dengan kehadiran Datuk Hanafiah Zakaria. Satu perjanjian bertulis telah dirangka menggambarkan syarat-syarat pelantikan seperti yang telah saya sebutkan. Perjanjian ini dalam pengetahuan setiap individu yang terlibat dalam proses membuat keputusan itu.
“Oleh itu, tidak mungkin ada salah faham mengenai bayaran saya, iaitu tidak melebihi RM1000,” katanya, dan menambah perkara ini boleh disahkan Hanafiah.
Malah tambah Shafee sehingga kini beliau tak pernah tuntut bayaran tersebut.
Kelmarin, Anwar menggesa pihak bertanggungjawab mempertimbangkan langkah-langkah memperbetul keadaan bagi memulihkan integriti sistem perundangan negara susulan pendedahan afidavit itu.
Anwar berkata afidavit Siti Rahayu membuktikan dakwaannya tentang pembayaran kepada Shafee.
Anwar tahun lepas memfailkan tuntutan untuk menggugurkan pensabitan liwat, mengatakan dia tidak diberi perbicaraan yang adil, dan mengatakan ada bayaran sehingga RM9.5 juta yang didakwa daripada Najib.
Mahkamah Tinggi pada November tahun lepas membatalkan tuntutan itu, mengatakan Anwar tidak menunjukkan bukti yang menyokong dakwaannya.
Shafee sebelum ini menepis dakwaan tentang beliau menerima RM9.5 juta daripada Najib sebagai “mengarut”.

No comments:

Post a Comment