Sunday, 23 September 2018

BERI KERANGKA SELESAI MASALAH PTPTN, HENTI BERALASAN


23 SEPT: Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sudah tiba masanya untuk Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memberikan kerangka penyelesaian menyeluruh kepada kemelut PTPTN.
Menurut Reezal, tidak perlu lagi menggunakan alasan “kajian sedang dilakukan”, sebaliknya mula menyediakan halatuju yang lebih jelas berkenaan tabung pendidikan ini.
“Musim untuk berjanji manis sudah berlalu. Rakyat dan generasi muda khususnya menantikan ‘penyelesaian yang paling baik’ kepada masalah pembiayaan pendidikan ini“YB Menteri Pendidikan tidak perlu mengingatkan soal ‘moral’ dan ‘akhlak tinggi’ jika kerajaan sendiri menipu dan membohongi rakyat dengan janji manis manifesto. Di mana moraliti dan akhlak YB sendiri?,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Di dalam Dewan Rakyat bertarikh 31 Julai lalu, Maszlee pernah menyatakan secara spesifik bahawa kajian menyeluruh mengenai PTPTN akan siap menjelang bulan Ogos tahun ini.
“Kajian yang dikatakan menyeluruh ini pastinya meliputi keseluruhan operasi PTPTN – bukan sahaja status terkini peminjam; malahan kemampuan organisasi itu membiayai permohonan baru bakal pelajar institut pengajian tinggi untuk tahun mendatang.
“Kita masih menunggu hasil kajian dan ‘strategi baru’ PTPTN ini. Mana dia? Apakah kerana Pengerusi PTPTN yang baru (Wan Saiful Wan Jan) merupakan sahabat rapat YB maka beliau diberikan kebenaran khas untuk menipu Dewan Rakyat dan gagal mengotakan janji? Di mana moraliti dan akhlak pentadbir PTPTN?,” soal Reezal lagi.
Tambahnya, ramai pengundi muda yang memberikan kepercayaan kepada kerajaan PH berasaskan janji-janji manis berkait PTPTN ini.
“Kita berasa cukup kesal, kerana tidak nampak usaha dan ikhtiar yang jelas dalam menyelesaikan isu yang besar ini. Isu PTPTN memerlukan perhatian segera pihak kerajaan.
“Setakat ini, Menteri Pendidikan dan pentadbiran baru PTPTN masih gagal memberikan penjelasan yang tuntas mengenainya,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri sewaktu menyampaikan syarahan perdana di sebuah IPTA baru-baru ini menyatakan rasa kesal dan malu kerana sikap ‘tidak amanah’ peminjam PTPTN dalam menyelesaikan pinjaman pendidikan mereka sehingga menyebabkan hampir RM36 bilion hutang masih tertunggak dan meletakkan PTPTN dan kerajaan dalam keadaan yang sukar.
Kemudian, Maszlee turut membuat beberapa kenyataan yang seakan membenarkan isu ini dengan menyatakan peminjam perlu membayar hutang jika ada moral dan akhlak tinggi dan papun manifesto kata, kalau dah pinjam kenalah bayar.
“Ironinya, kerajaan hari ini lah juga yang menggunakan dan mempolitikkan isu PTPTN sehingga rakyat akhirnya percaya bahawa mereka boleh melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding kerajaan dahulu.
“Ke mana pergi rasa yakin kerajaan untuk melaksana janji manifesto? Apa jadi dengan janji ‘tidak perlu bayar jika gaji tidak cukup RM4000’?,” katanya.

No comments:

Post a Comment