Friday, 14 September 2018

GUAN ENG JANGAN BERBOHONG SANGAT HINGGA MENGELIRUKAN RAKYAT - NAJIB


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak sepatutnya berbohong dengan mengeluarkan kenyataan menggunakan tarikh yang tidak betul untuk mengelirukan orang ramai hanya untuk menjawab kebimbangan mengenai nilai ringgit yang menyusut.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, agak pelik apabila Guan Eng memberi contoh nilai mata wang Ringgit kini hanya lemah sebanyak 2.2 peratus sejak akhir tahun 2017 dan lebih baik berbanding mata wang dari negara-negara yang lain dan ini menunjukkan kepercayaan pelabur kepada kerajaan baharu.
“Sebelum ini, beliau salah titik perpuluhan. Selepas itu, Guan Eng berkata dia salah faham tentang barang basah dan oleh itu telah ‘hantam’ cukai jualan 10 peratus ke atas barang basah.
“Kini Guan Eng salah tarikh pula, kerajaan tukar bukan pada akhir tahun 2017 tetapi pada 9 Mei 2018,” katanya menerusi Facebook beliau, hari ini.
Menurut Najib, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), iaitu sejak akhir tahun 2017, nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semakin mengukuh.
“Selepas PRU-14, aliran ini jelas berubah dan ringgit semakin lemah sehingga kini iaitu dari RM3.85 pada bulan April sebelum PRU-14 kepada RM4.15 pada masa ini.
“Ringgit juga lebih lemah sejak PRU14 berbanding matawang lain di rantau ini. Sebagai contoh, berbanding dolar Singapura, ringgit menyusut dari RM2.94 kepada RM3.02 dan dengan baht Thai dari 8.1 baht kepada 7.6 baht, pada masa ini,” katanya.
Tambah Najib, antara faktor yang dinyatakan kebanyakan penganalisa mengapa ringgit lebih lemah sejak PRU14 ialah pengaliran keluar dana asing yang besar dan polisi-polisi kerajaan yang tidak menentu atau tidak konsisten.
“Hanya untuk menjawab kebimbangan saya akan nilai ringgit yang menyusut, Guan Eng tidak sepatutnya bersikap defensif dengan mengeluarkan kenyataan menggunakan tarikh yang tidak betul untuk mengelirukan orang ramai.
“Guan Eng sepatutnya ambil perhatian terhadap kebimbangan saya bahawa secara am, ringgit akan mengukuh apabila harga minyak naik dan sebaliknya tetapi selepas PRU14 keadaannya agak menggusarkan kerana aliran nilai sudah bergerak bertentangan. Harga minyak dunia semakin naik tetapi ringgit semakin turun.
“Beliau sepatutnya ambil langkah untuk mencegah kemungkinan ringgit akan turun dengan lebih teruk lagi dan Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi jika harga minyak dunia tiba-tiba turun dengan banyak seperti yang berlaku pada tahun 2015 dan 2016,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment