Saturday, 22 September 2018

“BERTEGASLAH TAPI ELAKLAH DARI BERKERAS” - SHAHRIR


Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini menegur kerajaan PH dalam soal urus tadbir dan kepentingan negara di dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menyifatkannya tindakan sekarang sebagai keras.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bharu itu turut mempersoal mengapa sampai pihak polis menyerbu rumah Tun Rahah Noah dan adakah beliau juga bakal didakwa atau dipanggil bagi tujuan soal siasat.

Baginya, tindakan itu dirasakan lebih aneh dan menghampiri luar tabii proses penyiasatan polis kerana ketika serbuan, Najib sedang berdepan pendakwaan di mahkamah dengan 25 tuduhan tentang pelbagai salahlaku.
“Ataupun, adakah polis masih hendak mencari bukti tambahan terhadap tuduhan-tuduhan yang telah dikenakan terhadap DS Najib?
“Apakah bukti dakwaan masih belum cukup kuat, sehinggakan melibatkan bonda Datuk Seri  Najib yang berusia 86 tahun dalam keadaan uzur itu?,” tulis veteran politik itu di Facebook Shahrir Samad – Tok Uban.
Katanya, senario ini, iaitu menyiasat dan mendakwa seorang mantan perdana menteri merupakan  sesuatu yang agak luarbiasa.
Apatah lagi menyerbu kediaman balu Allahyarham Tun Abdul Razak yang pernah berjasa membawa masuk semula Perdana Menteri ke 7 ini ke dalam UMNO seterusnya dilantik sebagai senator pada tahun 1973 dulu.
“Saya pernah bertugas dengan Allahyarham sebagai setiausaha politik di Jabatan Perdana Menteri.
“Saya pernah menyatakan dihadapan Datuk Seri Najib dalam suatu majlis FELDA yang saya rindukan zaman Tun Abdul Razak Hussein.
“Ketika zaman itu, adanya juga ketegasan dalam soal urus tadbir dan kepentingan negara.
Tapi, “Keras” jauh berbeza dari “Tegas”. Inilah sebabnya pada hari ini, saya membuat teguran secara umum ini,” ujarnya.
Juteru itu, Shahrir meminta semua pihak menjaga negara ini dan gunakan kuasa itu bersesuaian dengan adab dan nilai bangsa.
Tambahnya, sudah tentu pemerintah berhak mengambil tindakan melalui siasatan polis dan SPRM bagi menegakkan keadilan dalam soal salahlaku dan jenayah mengikut  perundangan negara.
“Bertegaslah, tapi elaklah dari berkeras,” katanya.

No comments:

Post a Comment