Saturday, 22 September 2018

APAKAH KEPERLUAN MENDESAK SERBU RUMAH IBU NAJIB


Tindakan pihak polis menyerbu kediaman ibu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Rahah Mohammad Noah petang semalam menimbulkan persoalan apakah wujud satu keperluan yang terdesak, ujar penganalisis politik, Datuk Sayuti Mukhtar.
Tidak mempersoalkan sudut perundangan negara, namun begitu beliau menegaskan tidak seharusnya sebuah keluarga yang banyak menabur bakti kepada negara dijatuhkan maruah mereka semata-mata demi kepentingan politik pihak tertentu.
“Menegur biar berpadan, menghukum jangan sampai menzalimi. Secara asasnya, perundangan tidak membatasi kepada sesiapa. Betul..Tapi perkiraannya ialah, apakah dengan menggeledah di rumah seorang yang bergelar Tun, seorang isteri bekas negarawan, ibu kepada seorang bekas perdana menteri, kalau itu adalah satu keperluan yang terdesak dalam perkiraan perundangan ini, mesti kena pergi geledah, kita terima lah.

“Tetapi tidak adakah terselit apa-apa perkiraan tentang latarbelakang keluarga itu sendiri sehinggakan kita nak mengambil tindakan yang sebegitu drastik, begitu rakus. Tiadakah pertimbangan yang masih berbaki dalam konteks kehidupan kita ini.


“Bukan kita nak menolak dari segi undang-undang itu. Tapi apakah itu satu keperluan terdesak yang terakhir yang teramat tak boleh kita ketepikan sehingga memalukan sebuah keluarga besar, negarawan yang pernah menabur jasa bakti terlalu besar terhadap bangsa dan tanahair kita.


“Jangan terselit apa-apa agenda peribadi untuk menjatuhkan maruah mana-mana pihak,” katanya kepada BNPPortal.com, Jumaat.


Dalam masa yang sama katanya, masyarakat yang memerhatikan secara rapat perkembangan semasa di negara ini sudah mula mempertikaikan mengenai keadilan sistem perundangan negara.


Masyarakat katanya dapat melihat seolah-olah wujud ketidakadilan dari segi perundangan apabila ia banyak memihak kepada satu pihak tertentu seperti pertuduhan di mahkamah tidak dipanjangkan dan sebagainya.


“Masyarakat bising apabila melihat satu bentuk perundangan memihak dan tidak ada keadilan secara mutlak. Ada setengah pihak terlepas, kes tidak dipanjangkan.


“Tengoklah manusia-manusia yang menjadi kontroversi sekarang ini. Kenapa kes-kes sebelah pihak asyik digugurkan, diketepikan, tidak dipanjangkan? Apakah kita sekarang sudah berada pada satu perundangan masyarakat rimba yang sudah tidak tahu menilai dari segi semangat kemanusiaan dan keadilan sebenar.


“Kalau nak betul-betul ikut peraturan perundangan, ikut betul-betullah. Jangan bagi nampak ada pilih kasih, memihak dan tidak adil di mana-mana.


“Jangan sampai sistem perundangan kita dilihat ada bibit politik dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serbuan pihak polis di kediaman Tun Rahah petang semalam.


Memetik laporan media, sumber polis berkata serbuan yang melibatkan 14 anggota itu dibuat kira-kira pada pukul empat petang iaitu kira-kira waktu yang sama Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Difahamkan polis turut memeriksa di sebalik siling rumah untuk melihat jika ada wang tunai yang disembunyikan, tetapi pulang dengan tangan kosong. 

No comments:

Post a Comment