Monday 3 September 2018

PEGUAM BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP TOMMY THOMAS


3 SEPT: Seorang peguam, Mohd. Khairul Azam membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas ekoran keputusan mahkamah membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Dalam laporan polisnya, beliau terkejut dengan kenyataan media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang amat terkejut dengan keputusan mahkamah melepas dan membebaskan Guan Eng dan Li Koon.
“Di dalam kenyataan media yang sama, SPRM juga menegaskan bahawa keputusan Peguam Negara menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Peguam Negara sendiri dan bukannya daripada SPRM.
“SPRM buat pertama kalinya dalam sejarah negara mengeluarkan kenyataan media sedemikian yang menunjukan konflik antara SPRM dan Peguam Negara. Kenyataan ini berbaur penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara, Tommy Thomas dalam menggugurkan pertuduhan terhadap Lim Guan Eng,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Guan Eng dituduh menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang dengan mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn. Bhd.
Tuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam didakwa mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang diketahuinya tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta di kediaman tersebut pada 28 Julai 2015.
Li Koon yang merupakan bekas pemilik banglo itu pula, didakwa bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan lot tanah dan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan pada tarikh yang sama.
Sementara itu, di Kelantan, sekumpulan peguam mendesak perletakan jawatan Tommy kerana membuat keputusan tersebut tanpa alasan yang kukuh.
Ketua Eksekutif Profesional Muda (CP), Faidhur Rahman Abdul Hadi dan; Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Kualiti (WAFIQ) dan Ketua Biro Hak Asasi Manusia, Fatihah Jamhari berkata mereka telah kehilangan keyakinan terhadap Tommy kerana gagal menegakkan aturan undang-undang.

No comments:

Post a Comment