Wednesday 26 September 2018

TINDAKAN TUTUP TAHFIZ: PH TIDAK MINAT MEMPERTAHANKAN INSTITUSI ISLAM WALAUPUN MENTERINYA MELAYU BERAGAMA ISLAM

26 SEPT: Kerajaan PH tidak langsung menunjukkan kesungguhan dan minat untuk menjaga Institusi Islam susulan arahan Menteri Wilayah, Khalid Samad untuk menutup pusat tahfiz tidak berdaftar di ibu kota.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu jelas berbeza berbanding seawal mendapat mandat apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengisytiharkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) layak mendapat peruntukan kerajaan walaupun tidak berdaftar dengan kementerian.
“Tindakan (tutup tahfiz) ini boleh dianggap menyekat hak asasi individu untuk mendapatkan hak asasi asas setiap manusia iaitu hak untuk mendapatkan pendidikan.
“Tindakan ini jelas menunjukkan Kerajaan PH gagal untuk menjaga kepentingan umat Islam di negara yang agama rasminya adalah Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Ahli Parlimen Bera itu, keputusan itu sangat mengecewakan dan menunjukkan sikap berlepas tangan daripada tangggungjawab sebuah kerajaan pemerintah.
“Memang benar banyak Pusat Tahfiz yang tidak  berdaftar di dalam keadaan yang uzur dan kadang-kadang keadaan persekitaran boleh merbahayakan pelajar dan anak Tahfiz.
“Bagaimanapun Kementerian Wilayah tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan membuat keputusan dan arahan penutupan kepada pusat-pusat tahfiz ini.
“Sepatutnya Kementerian Wilayah membantu dan mengambil langkah menaiktaraf dan mendaftarkan pusat-pusat tahfiz tersebut,” katanya.
Beliau turut mengimbau ketika pemerintahan kerajaan BN yang telah memperuntukkan sejumlah RM 50 juta untuk membaik pulih dan menaiktaraf 721 pusat-pusat tahfiz (akhir 2017)  yang tidak berdaftar bagi menjamin keselamatan dan keselesaan kepada pelajar-pelajar tahfiz.
“Sebanyak 442 buah telah selesai diselenggara dan dinaiktaraf pada Mei 2018.
“Daripada jumlah keseluruhan itu, kerajaan BN ketika itu mengenal pasti ada pusat tahfiz tidak perlu dibaiki kerana berkeadaan baik dan sesetengah pusat tahfiz tidak mahu menerima peruntukan kerana  perbedaan fahaman politik.
“Tetapi kita terus menghulurkan bantuan dalam bentuk yang lain. Sejumlah 612 pusat tahfiz yang berdaftar dengan kerajaan ketika itu diberikan peruntukan pendawaian semula semua bangunan mereka yang melebih masa yang telah ditetapkan oleh Pihak Bomba dan Penyelamat dan telah siap juga pada Mei 2018,”katanya.
Kerajaan BN juga telah memperuntukkan RM 40 juta untuk memberikan latihan teknikal dan vokasional kepada pelajar-pelajar ini supaya selepas tamat pembelajaran mereka bukan sahaja bergelar huffaz tetapi mahir di dalam bidang TVET.
“Kerajaan BN juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan  oleh Timbalan Perdana Menteri (masa itu) untuk menyelaras dan menyelesaikan semua isu yang melibatkan pusat tahfiz terutamanya dalam menyediakan sillibus matapelajaran supaya membolehkan mereka  mengikuti pelajaran formal.
“Begitulah prihatin Kerajaan BN ketika itu dalam menjaga kepentingan Pendidikan Islam.
“Saya berharap para agamawan serta pendidik tanpa mengira kaum dan ugama untuk bersama-sama mempertahankan institusi pendidikan Islam ini.
“Ini bukan isu politik kepartian. Ini bukan soal ugama semata-mata tetapi lebih kepada soal hak mendapat pendidikan kepada rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini juga berkaitan kebajikan anak-anak tahfiz yang akan kehilangan tempat pembelajaran mereka,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, arahan Khalid itu turut dipersoalkan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang merasakan kerajaan PH perlu mengutamakan penutupan kedai arak susulan kes pengambilan arak tiruan yang meragut 37 nyawa.
“Ramai yang masih menunggu pengumuman Menteri Wilayah untuk mengarahkan kedai arak ditutup,” katanya.
Terdahulu, Khalid mengumumkan DBKL akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram, termasuk pusat tahfiz di Kepong selepas pengetuanya ditahan polis kerana dipercayai meliwat 9 pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun.

No comments:

Post a Comment