Friday 14 September 2018

MUKTAMAR PAS: KEGAGALAN KUASAI MEDIA SOSIAL SALAH SATU PUNCA KEKALAHAN PRU-14


Kegagalan menguasai media sosial dan kelemahan penyampaian mesej kepada bukan Islam, adalah antara kekurangan dikenal pasti PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata parti itu juga kurang memberi tumpuan terhadap gerakan pendaftaran pengundi muda dan keperluan golongan itu berbanding parti lawan lain.
Menyifatkan pertarungan 9 Mei itu ibarat berjuang di gelanggang tidak sama rata menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan, beliau mahu kelemahan itu segera diatasi ke arah memperkemaskan persediaan jangka panjang PAS.
“Dalam serba kekurangan, PAS menempa pencapaian baik menerusi pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengekalkan Kelantan.
“PAS turut menawan semula Terengganu, hampir menguasai Kedah dan menambah kerusi di Pahang.
“Sokongan pengundi teras dan pengundi atas pagar turut bertambah menerusi peningkatan sekali ganda keseluruhan undi yang diterima melebihi 2.04 juta, atau 18 peratus undi popular,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bertema ‘Islam Memimpin’ sempena perasmian Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu hari ini.
Selain barisan pimpinan tertinggi PAS seperti Mursyidul Am, Hashim Jasin; dan Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, majlis perasmian muktamar kali ini mencatat sejarah apabila turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hadi berkata, PAS menghormati keputusan rakyat dan komited bersama semua pihak ke arah membentuk budaya politik baharu dengan penuh hikmah.
“PAS akan terus membetulkan apa yang salah dan menambah baik apa yang betul,” katanya.
Terdahulu Abdul Hadi memeriksa kawalan perbarisan kehormat Jabatan Amal sebelum upacara perarakan masuk ke dewan stadium.
Beliau diringi Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin; Timbalan Mursyidul, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Majlis diteruskan dengan ucapan aluan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

No comments:

Post a Comment