Sunday 16 September 2018

USUL PAS TERAJUI PENYATUAN POLITIK ISLAM - MELAYU


Muktamar PAS ke-64 hari terakhir pada Ahad menerima usul supaya parti itu menerajui usaha menyatukan kelangsungan politik Islam-Melayu di negara ini.
Walaupun tidak dinyatakan secara terbuka, usul berkenaan dilihat cenderung merujuk kepada kerjasama PAS-UMNO dalam perkara yang memanfaatkan kedua-dua pihak.
Menerusi usul politik Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bertajuk ‘Kesatuan Umat’, sayap berkenaan berpandangan usaha ke arah itu perlu diperkukuhkan kembali dan usul tersebut merupakan satu daripada enam usul yang diluluskan tanpa bahas di Stadium Tertutup Gong Badak.
PAS turut akan  mengekang politik anasir tidak sihat yang menjejaskan keharmonian politik dan masa depan agama, rakyat dan negara.
“Wujud gelombang perubahan dan kesedaran rakyat terhadap politik serta tuntutan masa yang memerlukan PAS segera bertindak untuk memimpin.
“Kita memperakui Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama rasmi negara yang menjadi punca kuasa dan penentu kelangsungan pembinaan serta masa depan dan keharmonian pelbagai kaum.
“DPPP menginsafi betapa sejarah sentimen perkauman dan agama secara salah telah menatijahkan ketidaktenteraman serta sengketa yang mesti dihindari.
“Kita juga kesal dengan ancaman terhadap tonggak utama negara iaitu Islam, Raja-Raja Melayu, tanah rizab Melayu, bahasa Melayu dan kerakyatan oleh Pakatan Harapan (PH) yang dibayangi agenda DAP,” kata DPPP.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melakar langkahan sejarah baharu hubungan dua parti Melayu Islam terbesar apabila menghadiri Muktamar Tahunan PAS Pusat itu.
Beliau yang merupakan tetamu jemputan khas disambut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali bersama Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Selain beliau, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid di samping Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah serta sayap Wanita dan Puteri juga hadir dalam majlis ini bagi memberikan sokongan moral kepada PAS.
Terdahulu kehadiran pimpinan UMNO termasuk Ketua Pemudanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Wanita, Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam perasmian muktamar sayap PAS mencuri perhatian perwakilan dan pemerhati politik.

No comments:

Post a Comment